Berita

UTM ejen pertama sedia kaunter zakat

CHE MAT (tiga dari kiri) melakukan pertukaran dokumen dengan Dr. Wahid pada majlis menandatangani MoA bersama UTM atas pelantikan universiti itu sebagai kaunter ejen zakat PPZ-MAIWP baru-baru ini.
- Diterbit 6 Disember 2019 10:21 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membuka lebih banyak kaunter kutipan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pada masa ini, hanya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memiliki kaunter zakat dan pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi tujuan berkenaan.

“Kita mahu memperluaskan lagi kaunter kutipan zakat bagi memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada orang ramai.

“Selain itu, pihak universiti juga akan mendapat manfaat kerana 3.5 peratus daripada jumlah kutipan zakat akan dikembalikan, faedah sama seperti ejen pengutip yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara PPZ-MAIWP dan UTM di UTM Kampus Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis itu, PPZ-MAIWP diwakili Pengerusi­nya, Datuk Che Mat Che Ali manakala UTM diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Turut hadir, Pro Naib Canselor Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.

Perjanjian yang ditandatangani pada 29 November itu sekali gus menjadikan UTM Kampus Kuala Lumpur sebagai satu-satunya universiti awam pertama di Lembah Klang yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat selain ejen pertama yang menyediakan perkhidmatan kaunter kepada warga universiti, komuniti dan badan korporat.

Sebelum ini, MAIWP sudah melantik 33 ejen kutipan zakat termasuk Pos Malaysia, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA).

Pada majlis sama, Che Mat dan Dr. Wahid turut merasmi­kan Kaunter Kutipan Zakat UTMKL yang menyedia­kan perkhidmatan kutipan zakat untuk warga universiti dan orang ramai.

Kaunter yang terletak di Masjid UTM Kuala Lumpur itu beroperasi bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Ia dilengkapi dengan sistem dalam talian bagi membolehkan pembayar zakat menerima resit sebaik saja pembayaran dilakukan dan antara perkhidmatan yang disediakan adalah pembayaran zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat emas, zakat simpanan dan sebagainya.

Sementara itu, Dr. Wahid berkata, UTM bekerjasama dengan PPZ-MAIWP sejak 2012 melalui program potongan gaji berkala bagi pembayaran zakat pendapatan.

“Menerusi kerjasama itu, MAIWP mengembalikan sebanyak 37.5 peratus daripada hasil kutipan berkenaan yang dikenali sebagai wakalah kepada UTM untuk diagihkan kepada asnaf, pelajar dan pelajar antarabangsa,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas