Berita

11 Van Wilayah untuk setiap MPP

KHALID (lima dari kanan) bersama wakil setiap Parlimen yang menerima replika kunci Van Wilayah di perkarangan menara DBKL 1 baru-baru ini.
- Diterbit 6 Disember 2019 10:09 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan pergerakan golongan berpendapatan rendah (B40) di ibu negara, perkhidmatan Van Wilayah diperkenalkan kepada warga berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pelaksanaan program tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Wilayah Peduli yang mana kerajaan mewujudkan program yang dapat membantu golongan B40.

Ujar beliau, pada masa ini 11 buah van disediakan yang mana setiap parlimen di Kuala Lumpur akan menerima sebuah van dan perkhidmatannya adalah percuma.

“Pelaksanaan perkhidmatan ini akan membantu keperluan rakyat untuk ke hospital, urus kematian, aktiviti amal, keperluan-keperluan lain atau program lawatan.

“Ia perlu diuruskan dengan baik dan digunakan untuk tujuan kebajikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Van Wilayah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini baru-baru ini.

Mengulas sama ada jumlah van menepati golongan sasar atau tidak, Khalid memberitahu, pada masa ini van yang disediakan mungkin tidak mencukupi kerana ada parlimen yang mempunyai empat atau lapan sub-zon.

Jelas beliau, bilangan berkenaan akan ditambah dalam tempoh masa lima tahun sehingga menjadi 77 buah mengikut jumlah keseluruhan sub-zon yang ada.

“Kita mulakan dengan sebuah van dan tengok dahulu pengurusannya bagaimana. Mungkin dalam jangka panjang, lepas tengok program Van Wilayah ini begitu berkesan dan banyak membantu, ia dapat ditambah kepada 77 buah dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, van berkenaan akan diserah dan diuruskan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang mana penggunaannya tertakluk kepada garis panduan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) manakala Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pula menjadi badan pemantau.

Tambah Khalid, MPP perlu mengisi setiap penggunaan van di dalam buku log supaya pengurusan ken­deraan itu lebih telus, tidak ada pilih kasih atau salah guna.

Mengulas tentang penglibatan badan korporat atau swasta, beliau memberitahu, pihak berkenaan akan diperlukan selepas pelaksanaan projek perintis ini sekali gus membolehkan setiap sub-zon mempunyai sebuah van.

“Kalau begitu berjaya, berkesan serta permintaan tinggi mungkin kita boleh laksanakannya untuk program tahun depan dan tahun selepasnya bersama dengan penyertaan pihak korporat atau swasta,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas