Selebriti

Elak terpedaya video raih simpati

- Diterbit 26 April 2024 11:25 AM MYT

PLATFORM media sosial bukan sahaja digunakan untuk berhubung, merapatkan silaturahim dan berniaga, sebaliknya boleh dijadikan medan berbuat amal kebajikan seperti bersedekah.

Pelakon Riezman Khuzaimi berharap host TikTok di Malaysia tidak mudah terikut-ikut dengan budaya luar yang mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.

Ini kerana, terdapat segelintir mudah terpedaya dengan video atau gambar meraih simpati dalam media sosial.

“Banyak contoh yang tidak baik berlaku di luar negara. Ada yang menggunakan budak kecil kepala berbalut kemudian bagitahu yang anak tersebut sakit.

“Orang pun terpedaya dan berikan gift banyak-banyak. Namun, di Malaysia ini peraturannya ketat. Banyak perkara yang tidak boleh dilakukan.

“Sebagai contoh, saya tak boleh gunakan benda tajam ketika memasak, kongsi video seksi, asap rokok dan banyak lagi.

“Jadi, sebab itu saya didik para host ini untuk mencipta konten agar mereka dapat menjana pendapatan yang berkat dan tidak seperti minta sedekah,” katanya.

Riezman berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan duta bagi agensi TikTok, Kami Sempoi, baru-baru ini.

Menerusi platform tersebut, orang ramai boleh berhubung secara terus menerusi sesi siaran langsung. Ia juga mampu menjadi salah satu punca pendapatan melalui pemberian hadiah berbentuk koin.

Namun di sebalik itu, Riezman akui terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan hanya menantikan ‘gift’ tanpa berkongsi perkara bermanfaat.

Menurutnya, situasi ini yang membuatkan ramai pihak memberikan persepsi negatif dan menganggap para artis seperti peminta sedekah.

“Sejujurnya saya pun terasa dengan kenyataan tersebut. Bukan kerana mulut orang tapi saya yang rasa sendiri. Saya tak seronok bila buat live, kita hanya menunggu gift sahaja walaupun saya tak minta.

“Namun, ada juga TikTokers yang mengambil kesempatan dengan meminta gift secara terus.

“Orang penat bekerja siang malam untuk dapat gaji pada hujung bulan tapi mereka sanggup habiskan RM500 untuk koin TikTok dan beri kepada kita,” katanya.

Kami Sempoi merupakan agensi yang membantu hos siaran langsung TikTok bagi menguruskan kerjaya mereka sekali gus menjana pendapatan di platform digital itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas