Berita

Butiran rasionalisasi subsidi akan dimaklumkan tidak lama lagi – Rafizi

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 25 April 2024 3:42 PM MYT

KERAJAAN akan memaklumkan butiran mengenai pelan rasionalisasi subsidi termasuk kriteria dan implikasinya tidak lama lagi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau menegaskan jika dasar rasionalisasi subsidi kerajaan berjaya, penjimatan itu boleh dialihkan kepada bantuan sosial yang berpotensi meningkatkan pengurangan kemiskinan di samping menjana penjimatan fiskal.

“Saya tahu ramai yang bertanyakan mengenai masa untuk kita memperkenalkan mekanisme itu, walau bagaimanapun, mengutamakan penyelarasan dan persediaan untuk langkah itu adalah perlu bagi sesuatu yang sebesar ini,” katanya ketika berucap semasa pelancaran Malaysia Economic Monitor ke-29 oleh Bank Dunia bertajuk Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills di sini, pada Khamis.

Beliau berkata 11.6 juta individu atau 52.6 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar dengan hab Pangkalan Data Utama (PADU).

“Ini memberikan kapasiti yang mencukupi untuk akhirnya melaksanakan rasionalisasi subsidi dan peralihan daripada model regresif subsidi menyeluruh.

“Pada tahap yang diperlukan ini, data berbutir, kita boleh meminimumkan kesilapan pengecualian dan rangkuman, dan memastikan pengagihan subsidi yang saksama kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya.

Sementara itu, laporan Malaysia Economic Monitor oleh Bank Dunia menekankan prospek pertumbuhan jangka panjang Malaysia, yang sangat bergantung pada pengukuhan modal insan dengan meningkatkan hasil pembelajaran untuk kanak-kanak.

Laporan itu membuat empat syor untuk meningkatkan hasil pembelajaran termasuk memastikan semua kanak-kanak mendapat manfaat daripada pendidikan prasekolah yang berkualiti tinggi dan berada di sekolah rendah dalam keadaan bersedia untuk belajar, selain meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak dan kualitinya untuk isi rumah berpendapatan rendah.

“Malaysia juga mesti mengukur dengan teliti hasil pembelajaran pelajar dan menanda aras kepada piawaian antarabangsa selain perlu mengukur prestasi guru secara menyeluruh.

“(Selain itu) perlu menyediakan program latihan guru yang berkesan, serta dasar yang mempertimbangkan pengalaman dan keperluan guru, sekali gus memastikan keberkesanan dan kemampanan,” menurut laporan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas