Artikel

Kenapa rosakkan taman awam?

- Diterbit 26 April 2024 9:20 AM MYT

KERANA sikap orang ramai yang bermentaliti kelas ketiga sekali pun disediakan kemudahan kelas pertama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa membelanjakan RM700,000 tahun lalu membaik pulih kerosakan di taman awam dan taman permainan di 17 lokasi di bawah seliaannya.

PAPAN gelongsor di taman permainan dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

Semua ini kerana perbuatan vandalisme yang berlaku hampir saban tahun. Kemudahan yang disediakan untuk orang ramai berehat dan beriadah dirosakkan oleh tangan-tangan gatal yang tidak menghargai apa yang disediakan untuk mereka.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, perbuatan mereka ini ibarat kera diberi bunga. Bukan sahaja mereka tidak tahu menghargai kemudahan tetapi menyusahkan orang lain yang hendak menggunakan kemudahan tersebut.

Memetik Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, Zulkifli Endut, perbuatan vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab telah mencacatkan fungsi taman. Lebih daripada itu ia mengancam keselamatan pengunjung yang datang bersantai atau beriadah.

Antara bentuk vandalisme yang dilakukan ialah mencuri kabel lampu taman, membakar alatan permainan, merosakkan tiang lampu serta memecahkan lampu. Menurut pemerhatian kawan-kawasan Kedai Kopi ada juga yang merosakkan kerusi meja atau tong sampah.

Apa manfaatnya merosakkan harta awam? Tidak ada kerja lain yang lebih bermanfaat untuk dibuat? Apabila tidak ada kemudahan, memohon dan meminta agar DBKL menyediakannya. Apabila sudah diberi tidak tahu menjaga, malah merosakannya.

Taman awam dan tempat rekreasi adalah harta awam yang perlu dijaga sebaik-baiknya. Tugas ini bukan sahaja terletak di bahu DBKL. Orang ramai mempunyai tanggungjawab bersama memelihara kelestarian taman berkenaan.

Sedarlah, kerajaan melalui DBKL telah membelanjakan banyak wang untuk membina dan menyediakan pelbagai kemudahan di taman-taman awam. Semua untuk keselesaan warga kota berehat dan beriadah bersama keluarga setelah penat bekerja. Apa rasanya apabila sampai ke taman, kemudahan banyak rosak?

Kerana itu kemudahan tersedia mesti dijaga bersama. Sudah banyak wang dibelanja menyediakan kemudahan, jangan pula terpaksa membelanjakan lebih banyak wang kerana vandalisme. Sepatutnya wang yang diguna untuk memperbaiki kerosakan boleh diguna untuk tujuan lain, termasuk menambah baik kemudahan taman.

Nasihat kawan-kawan Kedai Kopi kepada mereka yang sering melakukan kerosakan, ubahlah sikap. Tanam sifat sivik yang tinggi dalam diri. Belajarlah menghargai kemudahan. Sayangi harta awam seperti harta sendiri. Adakah anda akan melakukan kerosakan terhadap harta milik sendiri?

Jika memang anda jenis yang biasa merosakkan harta, buatlah di rumah sendiri. Jangan lanjutkan perangai buruk itu di tempat awam kerana harta awam adalah harta milik ramai. Kaki vandalisme tidak ada hak untuk menyentuh harta awam sesuka hati.

Diharap DBKL akan bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan kerosakan. Orang ramai juga wajar membantu DBKL dengan melaporkan mengenai individu yang melakukan seandainya mereka nampak pelakunya. Muafakat membawa berkat

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas