Berita

PDRM buka kertas siasatan terhadap Saifuddin Shafik berhubung komen jelik

- Diterbit 26 April 2024 11:29 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siastan terhadap Saifuddin Shafik berhubung komen jelik berkenaan insiden kemalangan melibatkan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi hantaran di Platform X.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan telah dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

“Pihak polis telah membuat rampasan satu unit telefon bimbit jenis Iphone 12 Pro yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Mohd Shuhaily, kertas siasatan juga telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Shuhaily turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat.

“PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegenteran awam melalui media sosial.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas