Berita

DBKL perketat kawalan, penyelenggaraan kerja

KHALID melekatkan notis selamat guna selepas menguji lif di Blok C, PPR Kerinchi baru-baru ini.
- Diterbit 6 Disember 2019 10:24 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperketatkan kawalan kerja dan penyelenggaraan bagi memastikan insiden lif terhempas pada 2 Ogos lalu tidak berulang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, susulan kejadian yang mengakibatkan lapan orang cedera itu, kerja-kerja penyelenggaraan flat di bawah seliaan DBKL diperketatkan.

Ujar beliau, kesemua 528 unit lif di perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR) telah diperbaharui lesen dan masih dalam tempoh Sijil Permit Mesin Ang­kat (PMA).

“Kita gunakan pengalaman ini untuk tentukan kerja-kerja penyelenggaraan supaya menjadi lebih teliti terutama kes melibatkan ‘solonoid valve’.

“Di Blok C PPR Kerinchi ini, kesemua lif yang ada telah diperbaiki termasuk menukar semua ‘solonoid valve’ yang ada selepas pemeriksaan 100 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas memeriksa lif yang telah dibaik pulih di sini baru-baru ini.

Mengulas tentang jaminan pula, Khalid memberitahu, pihaknya tidak dapat memberi jaminan 100 peratus.

“Yang penting kita lakukan sehingga maksima dan menukar ‘solonoid valve’ yang kebiasaannya boleh dibaiki dan digunakan balik.

“Untuk tentukan semua orang yakin maka kita tukar 100 peratus komponan berkenaan. Berdasarkan pengalaman yang ada, ‘solonoid valve’ boleh di­gunakan se­hingga 12 atau 15 tahun,” jelas­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas