Berita

Wooi Yik sedia galas cabaran

WOOI YIK (kanan) janji pamer aksi terbaik. Kredit foto: AFP
- Diterbit 26 April 2024 11:20 AM MYT

KAPTEN skuad Piala Thomas negara, Soh Wooi Yik mengakui ganjaran lumayan yang dijanjikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedikit sebanyak membakar semangat pemain bagi menjuarai kejohanan berprestij itu.

Pemain beregu lelaki nombor satu negara itu bagaimanapun berkata ia tidak mudah kerana atlet perlu menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dalam usaha untuk muncul juara.

“Sudah tentu ia membakar semangat dan memberi motivasi kepada kami. Saya sudah menyaksikan Piala Thomas sejak kecil lagi, ini adalah satu kejohanan berpasukan bukannya individu.

“Ia tidak sama seperti kejohanan individu yang kami sering sertai. Untuk mendapatkan ganjaran, kami perlu muncul juara.

“Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkan soal ganjaran ini terlebih dahulu kerana saya mahu fokus kepada permainan saya dulu. Lagipun, perjalanan kami masih jauh lagi,” ujar atlet berusia 26 tahun itu.

Dalam pada itu, Wooi Yik yang kali pertama mengetuai pasukan di Piala Thomas berjanji akan cuba melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

“Saya juga akan mendapatkan bantuan daripada Aaron Chia dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia bagi membantu memastikan pasukan sentiasa berada dalam mood terbaik,” tambahnya.

Terdahulu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu menyediakan ganjaran wang tunai kepada skuad Piala Thomas sekiranya berjaya muncul juara kejohanan itu yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Bagaimanapun, Norza tidak mendedahkan jumlah ganjaran berkenaan tetapi memaklumkan yang pemain mengetahui mengenainya.

Difahamkan BAM menjanjikan ganjaran lebih RM1 juta sekiranya skuad lelaki negara berjaya muncul juara Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas