Berita

UNESCO iktiraf silat sah milik mutlak Malaysia

AKSI silat peserta Malaysia. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Disember 2019 5:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia meletakkan Malaysia sebagai pemilik mutlak seni pertahanan diri Silat secara keseluruhannya.

Pengiktirafan yang diterima ketika sesi persidangan yang berlangsung di Bogota, Columbia pada awal Disember lalu menyaksikan usul yang direncanakan delegasi negara menerusi Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) berjaya mengetepikan usaha Indonesia untuk muncul sebagai pemilik mutlak sukan tersebut.

Indonesia hanya berpuas hati dengan cabangnya, iaitu pencak silat yang diletakkan di bawah kategori warisan budaya tidak ketara kemanusiaan.

MEGAT ZULKARNAIN

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mereka bimbang seandainya Indonesia mendapat pengiktirafan dahulu yang mana silat Melayu dikatakan milik mereka.

“Alhamdulillah, silat milik Malaysia manakala pencak silat pula milik Indonesia. Kami tidak menggunakan pencak silat kerana di Malaysia hanya digunakan silat atau seni silat,” ujarnya.

Katanya lagi, PESAKA juga bersetuju dengan perkataan silat sahaja kerana ia merangkumi semua termasuk silat sukan, silat budaya serta pencak silat namun Indonesia tidak bersetuju,” ujarnya.

Terdahulu, sejak tahun 2015, Malaysia telah memperjuangkan silat sebagai warisan dunia. Pengiktirafan ini turut menyemarakkan lagi status Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Silat Dunia Ke-19 pada tahun hadapan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas