Berita

KLFA sambar Akram Mahinan

AKRAM (kanan) diharap dapat membantu meningkatkan prestasi KLFA pada tahun hadapan. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Disember 2019 5:45 AM MYT

Oleh MUHAMAD NABEEL

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengesahkan pemain kebangsaan, Akram Mahinan bakal menyertai pasukan KLFA dalam saingan Liga Premier tahun hadapan.

Mengulas tentang pemilihannya sebagai pemain pertama menyertai skuad The Hawks selepas perubahan pucuk pimpinan KLFA yang diterajui Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, Akram mengakui ia adalah suatu lamaran yang hebat.

“Saya memilih KLFA kerana mereka sangat serius untuk mengambil saya dan memiliki perancangan yang baik untuk naik ke Liga Super. Sudah tentu, saya akan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Beraksi sebagai pemain tengah pertahanan, Akram yang memiliki pengalaman luas dilihat mampu membantu skuad Kuala Lumpur sejajar dengan sasaran kedudukan empat terbaik liga yang diletakkan pengurusan terbaru dan seterusnya kembali ke saingan Liga Super.

Akram, 26, merupakan antara tonggak utama PKNS FC dan mempunyai pengalaman luas pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Namun dia terpaksa meninggalkan PKNS FC yang sah bergabung dengan Selangor dan dijadikan sebagai Selangor II.

Selain PKNS FC, Akram juga pernah menyarung jersi pasukan Johor Darul Takzim dan pasukan negeri kelahirannya, Kedah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas