Berita

KWSP umum Penstrukturan Semula Akaun pencarum bawah 55 tahun

- Diterbit 25 April 2024 3:55 PM MYT

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Menurutnya, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

“Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan; Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

“Sementara bagi Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” ujarnya.

Jelasnya, semua caruman selepas 11 Mei akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan, 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

“Antara 11 Mei dan 31 Ogos, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

“Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

“Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli,” ujarnya.

Sementara itu, teambahnya, ahli juga boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain berkata, kesemua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55 dan caruman baharu yang diterima oleh ahli akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas.

Beliau turut menegaskan, ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei ini.

“Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau merujuk kepada laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau melalui KWSP i-Akaun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas