Berita

Labuan Big Show 2.0 sasar kehadiran 50,000 pengunjung

PESTA belon udara panas yang dijadual pada 3 hingga 5 Mei mengsasarkan pengunjung negara ini serta Asean Timur
- Diterbit 26 April 2024 10:30 AM MYT

SETELAH lebih tiga tahun tertunda akibat pandemik COVID-19, Labuan Big Show mensasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung ke pesta belon udara panas bermula 3 hingga 5 Mei ini.

Pengarah Labuan Big Show (LBS) 2.0, Arman Annuar Tan berkata pihaknya menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta seperti AKA Balloon Sdn Bhd dan Perbadan an Labuan untuk memastikan penganjuran kali kedua acara itu berjalan lancar dan lebih teratur berbanding sebelumnya.

“AKA Balloon Sdn Bhd mempunyai profil cemerlang dalam mengadakan penganjuran pesta belon panas di beberapa tempat termasuk di Putrajaya dan Pulau Pinang.

“Kami menyasarkan acara ini bakal menarik seramai 50,000 pengunjung luar selain Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta negara jiran seperti Brunei Darussalam dan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur (BIMP-EAGA),” katanya kepada WilayahKu, baru-baru ini.

Arman berkata pihaknya menyediakan hampir 600 perjalanan belon panas yang boleh memuatkan dua hingga empat orang yang tidak melebihi 200 kilogram pada satu-satu masa dan para pengunjung yang hadir akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik iaitu pertunjukan cahaya belon malam, berjalan dalam belon, menaiki belon sambil menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam.

“Buat masa ini, untuk tempahan tiket amat laris dan berjalan lancar seperti yang dirancangkan sebelumnya.

“Pada hari penutup, kami akan mengadakan konsert seni dan budaya yang menampilkan persembahan Bermukun oleh kumpulan anak jati Labuan yang mengetengahkan budaya etnik Kedayan.

“Penganjuran ini dibuat untuk mengetengahkan keunikan dan kebudayaan di Labuan agar ia lebih dikenali bukan sahaja dalam negara malahan di luar negara,” katanya.

Kata Arman, meskipun acara ini dianjurkan pihak swasta, ia tidak boleh menafikan bahawa penganjurannya memberikan impak positif kepada Labuan khususnya untuk sektor pelancongan dan memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

“Kami memerlukan kerjasama daripada semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta mahu pun badan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan Labuan kepada pengunjung luar khususnya.

“Kami juga sedang berusaha untuk mengangkat acara ini supaya ia dimasukkan dalam senarai acara tahunan terbesar di Labuan seperti Labuan International Sea Challenge (LISC) dan Borneo Art Festival.

“Kami juga yakin pada masa akan datang acara ini akan menjadi satu acara terbesar di Labuan kelak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas