Berita

Bukti kemampuan di Sukan SEA

- Diterbit 19 Disember 2019 5:49 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

CORAT-CORET Sukan SEA Manila masih lagi menjadi topik perbincangan biarpun telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada 11 Disember lalu di Stadium Olahraga New Clark City, Filipina.

Biarpun Malaysia gagal mencapai sasaran 70 emas pada temasya ke-30 ini namun ia perlu diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak dan bukannya medan untuk menunding jari terhadap satu sama lain.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam satu kenyataan merakamkan ucapan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran kegagalan meraih misi 70 pingat emas tersebut.

Malah beliau berjanji akan melakukan siasatan lanjut bagi mencari punca yang menyebabkan barisan atlet negara terpilih gagal melunaskan misi yang didambakan semua pihak.

Malaysia hanya mampu berada di tangga kelima dengan kutipan 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa sementara tuan rumah, Filipina pula muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2005 di Manila.

Pun begitu, satu yang boleh dibanggakan Wilayah Persekutuan apabila atletnya turut membantu menyumbangkan pingat emas pada acara yang berprestij itu.

Antara atlet wilayah yang berjaya kali ini ialah atlet badminton, Soh Wooi Yik; atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri; atlet gimrama, Izzah Amzan dan atlet boling, Timmy Tan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas