Berita

Pacu pertumbuhan ekonomi domestik

- Diterbit 26 April 2024 8:50 AM MYT

BERITA baik berkenaan kenaikan emolumen kakitangan awam yang dijangka  diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memberi suntikan positif terhadap ekonomi domestik.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata kenaikan tersebut pastinya menjadi suntikan tunai kepada ekonomi melalui peningkatan kuasa beli yang sebenarnya telah merosot berikutan kenaikan kadar inflasi terutamanya selepas pandemik COVID-19 berlalu.

“Dengan kenaikan tersebut maka perbelanjaan bulanan dapat ditampung dan juga memungkinkan mereka untuk membuat pembelian yang besar seperti kediaman dan kenderaan, di mana kedua-duanya merupakan big-ticket items dalam komponen ekonomi domestik yang dapat melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Menjelas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata kebiasaannya kenaikan penggajian dan suntikan tunai ke dalam ekonomi pasti akan meningkatkan permintaan ke atas barangan dan keperluan yang menyebabkan kenaikan inflasi, namun beliau melihat usaha kerajaan ini lebih kepada untuk menampung kekuatan kuasa beli kakitangan awam yang telah banyak berkurangan.

“Hakikatnya inflasi tidak semua buruk kecuali yang besar tingkatannya dan mendadak naiknya, inflasi yang naik juga menunjukkan ekonomi itu sihat, dinamik dan juga menyumbang kepada peningkatan KDNK,” katanya.

Menurut beliau, kenaikan penggajian awam yang akan diumumkan ini pasti akan turut memberikan kesan kepada kakitangan swasta.

“Ini kerana akan berlaku persaingan yang lebih sengit di antara sektor swasta dan kerajaan dalam menarik the best talents.

“Sektor swasta yang selama ini menawarkan pergajian yang lebih tinggi akan terkesan dengan aliran turnover yang lebih tinggi pekerja-pekerjanya yang berhenti, maka untuk mengekalkan talent yang ada dan menarik talent yang terbaik di pasaran buruh seharusnya sektor swasta juga perlu memperbaiki tawaran emolumen masing-masing.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan polisi gaji minima dan dasar itu berjaya walaupun pada awalnya mendapat tentangan para majikan.

“Pada hemat saya, kerajaan kini sedang mengolah polisi gaji progresif supaya kesesuaian kenaikan pergajian dengan ekonomi semasa terutamanya kadar inflasi yang terus mengancam.

“Kerajaan sendiri menjadi peneraju ke arah ini dengan memperbaiki emolumen kakitangannya sendiri dahulu untuk menjadi contoh dan teladan kepada majikan-majikan lain,” katanya.

Selain itu, katanya penstrukturan semula ekonomi Malaysia termasuklah penggajian tenaga buruh negara lebih dari 16 juta orang ini agak mencabar dan sekiranya berjaya dilaksanakan ia akan meletakkan ekonomi negara di landasan yang terbaik untuk menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan dalam Agenda Ekonomi Madani. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas