Berita

Tun Mahathir mahu Putrajaya Boat Race jadi acara tahunan

DR. MAHATHIR (dua kanan) bersama Khalid (kanan) dan Aminuddin (dua kiri) ketika menyampaikan piala pusingan kepada UPM.- FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 15 September 2019 5:19 PM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu acara Putrajaya Boat Race 2019 yang julung-julung kali diadakan di Tasik Putrajaya hari ini menjadi program tahunan.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mencadangkan agar acara perlumbaan mendayung perahu tersebut diadakan sejak Putrajaya dibangunkan lebih 20 tahun lalu.

“Tetapi entah macam mana tidak ada sambutan sehinggalah saya sekarang jadi diktator kali kedua dan saya paksa perlumbaan perahu dayung diadakan,” katanya dalam nada berseloroh pada sidang akhbar selepas menghadiri acara final Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya di sini petang tadi.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hasim.

Acara tersebut dianjurkan PPj dengan kerjasama Kelab Tasik Putrajaya dan Persatuan Mendayung Putrajaya.

Dr. Mahathir berkata, perlumbaan perahu dayung itu mengikut jejak seperti tradisi di United Kingdom yang menyaksikan universiti terkemuka Oxford dan Cambridge beraksi dalam perlumbaan perahu dayung melibatkan lapan peserta.

Katanya, tradisi itu juga diadakan di Universiti Yale dan Harvard di Amerika Syarikat serta Universiti Wesada dan Keio, Jepun.

“Harap ia dapat dijadikan acara tahunan dan jadi terkenal, media harus mempromosinya dan ia menjadi program yang boleh menarik kedatangan pelancong dari luar negara ke Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas