Berita

Belum ada keretakan kecil dalam Kerajaan Perpaduan – PM

- Diterbit 22 April 2024 2:11 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar I rahim menegaskan tidak ada keretakan hubungan yang berlaku dalam kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya.

Sebaliknya, hubungan dalam kalangan Kerajaan Perpaduan kini sangat kukuh dan mantap, dengan masing-masing sentiasa mengukuhkan hubungan tersebut.

Presiden PKR itu berkata Kerajaan Perpaduan juga tidak berdepan masalah persefahaman khususnya Jemaah Kabinet dalam membincangkan beberapa isu berbangkit.

“Yang di luar (Kabinet) suara-suara yang tidak semestinya mewakili suara kepimpinan, saya harus akui ada sedikit sebanyak hal yang dirungkai di luar jemaah menteri, tetapi setakat ini belum ada petanda keretakan kecil sekalipun, antara PH (Pakatan Harapan), UMNO-BN (Barisan Nasional), Sabah dan Sarawak.

“Yang ada hanya gerombolan-gerombolan desperados yang cuba adu domba dan saya beri tahu mereka good luck and goodbye, it will not works da. kerajaan ketika ini masih mantap dan kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Konvensyen 25 Tahun PKR, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Berhubung afidavit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Anwar berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada YDPA dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan untuk membuat keputusan mengenainya.

“Agong (terlibat) dalam mesyuarat lembaga pengampunan.

“Sejak merdeka hingga sekarang belum ada tindakan kerajaan yang menyinggung peranan dan kuasa raja-raja Melayu, dan itu kita kena pertahankan.

“Pendirian kita (kerajaan) adalah tuntas, bahawa keputusan dibuat dalam mesyuarat lembaga pengampunan, keputusan muktamad,”katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas