Berita

ProEight sertai syarikat gergasi di Persidangan Teknologi Luar Pesisir

- Diterbit 2 April 2024 3:24 PM MYT

TIADA siapa sangka, daripada 2,000 pempamer bertaraf Asia Tenggara dan dunia yang menyertai Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) minggu lalu, terselit sebuah syarikat kerdil, tetapi gah milik bumiputera.

Kemunculan ProEight Sdn. Bhd. (ProEight) dari Malaysia bersama 70 negara dunia, menarik minat pengunjung, sebahagian besarnya eksekutif tertinggi syarikat, termasuk penuntut universiti yang hadir untuk menambah ilmu pengajian dalam bidang kejuruteraan dan mekanikal.

ProEight, syarikat perkhidmatan pembaharuan dan penyelenggaraan pam, khusus dalam industri minyak dan gas (O&G), termasuk pengedap mekanikal serta komponen berkaitan berada di tengah-tengah kehadiran syarikat gergasi dan konglomerat dunia untuk bersama mempamer
kan kehebatan perkhidmatan masing-masing.

Syarikat milik penuh bumiputera ini, merupakan satu-satunya perkhidmatan di Asia Tenggara menghasilkan pengedap mekanikal serta mempunyai paten industri (IP) berdaftar untuk komponen dan servis pembaharuan pam O&G.

Antara organisasi besar menyertai OTC yang diadakan selama empat hari di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) ialah Petronas, PTT Exploration and Production Public Company Limited, Shell, ExxonMobil, Pertamina, Mubadala, Technip Energies, Baker Hughes, Halliburton, Yinson dan banyak lagi.

Namun, yang nyata, kemunculan Proeight di bawah Malaysia Pavilion pada OTC Asia 2024 pada 27 Februari sehingga 1 Mac lalu telah memberikan impak besar pada persidangan dan pameran berprestij itu.

Fokus utama dibawakan oleh syarikat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ir. Azhar Zainal Abidin ialah perkhidmatan pengeluar pengedap mekanikal untuk industri minyak dan gas peringkat global, telah membawa gelombang inovasi pada OTC.

OTC, acara dua tahun sekali disertai kira-kira 70 negara Asia Tenggara dan dunia dengan lebih 2,000 penyertaan dari setiap organisasi, menyasarkan pengunjung unik lebih 25,000 orang, 1,500 eksekutif tertinggi, pegawai kerajaan dan lebih 1,000 penuntut dari beberapa universiti.

Menurut Ir. Azhar, ProEight antara syarikat di Asia Tenggara yang membina mesin baharu dan pakar dalam membaik pulih pam lama serta mengubahsuai mengikut kehendak spesifik pelanggan.

Katanya, ekosistem pam dipamerkan ProEight pada acara OTC Asia 2024 telah menarik perhatian pengunjung yang menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai operasi pam dan teknologi digunakan dalam pembuatan serta pembaharuan mesin pengedap mekanikal.

“Ekosistem pam ini jelas memperlihatkan pengedap mekanikal yang telah melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh jurutera muda terlatih syarikat.

“Usaha ProEight melabur dalam bidang R&D ternyata membuahkan hasil, di mana syarikat berjaya menyelesaikan isu pasir yang sering mencetus masalah kepada pam yang digunakan dalam industri O&G ,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rata-rata pengunjung di gerai ProEight merupakan pelanggan sedia ada, bakal pelanggan dan juga penuntut tahun akhir universiti yang menjalani latihan industri.

Sepanjang empat hari penyertaan, Ir. Azhar mengambil satu slot menceritakan pengalaman hidup bertajuk, “Perjalanan: Kisah Kejayaan PKS Malaysia”, yang berjaya memikat hati pengunjung.

Menurut beliau, syarikatnya bukan sekadar pengeluar terkemuka pam, malah mempunyai kepakaran dalam membaik pulih serta menyesuaikan alat itu bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Dalam pengkisahan itu, Ir. Azhar, anak kelahiran Kota Bharu Kelantan turut mempamerkan perkhidmatan “Penjuruteraan Semula dan Peremajaan” syarikat bagi menghidupkan pam lama kembali berfungsi dengan baik.

Dalam persidangan itu, ProEight bukan sahaja mempamerkan produk dan perkhidmatan termaju untuk industri minyak dan gas, malah mempunyai penambahan baharu yang bakal merevolusikan operasi kepada syarikat pelanggan.

“Kami bersedia mendedahkan penyelesaian pengeluaran produk penahan bocor bagi mesin dan alat ganti untuk kegunaan syarikat O&G yang dibangunkan sepenuhnya,” kata beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas