Berita

UM mohon maaf dan kesal atas isu jemputan penceramah pro-Zionis

- Diterbit 25 April 2024 3:03 PM MYT

UNIVERSITI Malaya (UM) hari ini memohon maaf dan menyatakan kekesalan atas kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat yang dikeluarkan penceramah jemputan warga asing seperti tular di laman media sosial ketika ini.

Menerusi kenyataan hari ini, UM memaklumkan turut mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi  agar membatalkan serta-merta semua program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing di universiti tersebut.

Laporan lengkap berhubung isu itu juga sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini, menurut universiti itu.

“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial,” menurut kenyataan itu.

Semalam, tular di laman sosial, X berhubung kehadiran pensyarah Bruce Gilley yang pro-Zionis dalam satu program di UM, yang dimuat naik sendiri oleh profesor sains politik tersebut.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat kecaman rakyat Malaysia sebelum hantaran itu dipadam oleh Gilley, yang turut memberitahu dirinya telah meninggalkan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia yang disifatkan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

UM memaklumkan akan terus mendukung pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Mahasiswa Progresif UM berpendapat universiti itu wajar mengambil tindakan dan memberi amaran terakhir kepada mana-mana individu yang menggunakan prinsip kebebasan akademik dengan sengaja cuba menyentuh perkara-perkara sensitif di negara ini.

Persatuan itu turut menyelar tindakan dilakukan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM menjemput pensyarah pro-Zionis berkenaan, sambil mempersoalkan kewajaran tindakan fakulti itu.

“Apakah sebenarnya yang cuba ingin disampaikan oleh pihak yang terlibat daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial? Adakah mereka cuba memberitahu bahawa mereka tidak menyokong tindakan Perdana Menteri ke serata dunia untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan?,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan semua program dan aktiviti yang dijadualkan dihadiri penceramah asing tersebut dibatalkan segera dan meminta UM menyiasat dan melaporkan segera butiran lanjut berkaitan perkara tersebut. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas