Berita

UPM juara Putrajaya Boat Race 2019

UPM JUARA BOAT RACE
PASUKAN UPM menunjukkan piala pusingan selepas menjuarai Putrajaya Boat Race 2019 hari ini.
- Diterbit 15 September 2019 10:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Walaupun kekurangan satu pendayung, pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menamatkan dayungan dan menjadi juara kategori lelaki peringkat universiti Kejohanan Putrajaya Boat Race yang berlangsung hari ini sekali gus membawa pulang piala pusingan serta wang tunai RM1,500 dan medal.

Kemenangan itu sekali gus menewaskan pasukan lawan dari Universiti Malaya (UM) dengan perbezaan masa kira-kira 5 minit atau sebuah bot (19 meter).

Saingan sengit kedua-dua pasukan terbabit bermula pukul 4.50 petang dengan UPM mendahului perlumbaan.

Namun, UM terus mengejar dan menghampiri UPM tetapi gagal melepasi pasukan terbabit yang kemudiannya mempamerkan momentum kayuhan yang laju dan sekata walaupun baru berjinak dengan sukan dayung perahu sejak Julai lalu.

Kaptennya, Muhammad Amirul Arief Mahmud, 23, berkata, kekurangan seorang pendayung adalah disebabkan besi yang memegang pendayung tercabut.

“Besi tercabut. Kita merasai bebanan tersebut kerana terpaksa mengerah sepenuh tenaga untuk menggantikan kekurangan yang ada tambahan pula pendayung terbabit adalah kekuatan pasukan.

“Walaupun baharu dan kali kedua menyertai kejohanan, namun ia tidak mematahkan semangat pasukan untuk terus melakukan yang terbaik dan menjuarai kejohanan ini,” katanya.

Kejohanan Putrajaya Boat Race 2019 merupakan inspirasi daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menyaksikan satu perlumbaan perahu dayung di antara dua pasukan universiti terkemuka di negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas