Berita

Malaysia biasanya naikkan kadar subsidi jika harga minyak dunia naik – Tun Mahathir

Gambar hiasan
- Diterbit 15 September 2019 5:25 PM MYT

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia turut akan menerima kesan sekiranya harga minyak dunia melambung ekoran serangan ke atas loji penapisan minyak Aramco milik Arab Saudi semalam.

Perdana Menteri berkata, kebiasaannya di Malaysia, kerajaan akan menaikkan kadar subsidi sekiranya harga minyak dunia melambung.

Namun katanya, pada masa ini kadar harga bahan bakar di negara adalah yang termurah di dunia.

Berbeza dengan negara luar seperti di United Kingdom, kerajaan bakal menaikkan kadar cukai dan rakyatnya tidak merungut, kata Dr. Mahathir.

Ditanya pemberita sama ada kerajaan akan mengkaji kadar harga siling minyak di pasaran tempatan bagi RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 seliter, Dr. Mahathir berkata; “Kalau awak hendak saya kaji, saya akan kaji.”

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri final Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya di sini.

Laporan menyebut lebih 50 peratus pengeluaran minyak Arab Saudi terjejas susulan serangan pejuang Ansarullah, Yemen semalam.

Menurut laporan, Arab Saudi yang merupakan pengeksport minyak utama mengalami kerugian 5.7 juta tong sehari selepas loji Aramco di Abqaiq dan Khurais diserang.

Berdasarkan statistik Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, jumlah pengeluaran minyak Saudi mencecah sekitar 10 juta tong sehari dengan purata sebanyak 9.85 juta tong sehari pada Ogos.

Serangan itu menyebabkan kebakaran besar di kedua-dua kemudahan minyak yang terletak kira-kira 330 kilometer di timur laut Riyadh.

Ansarullah yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu menegaskan, mereka menghantar 10 dron ke Arab Saudi sebagai tindak balas sejak kempen pakatan tentera diketuai Arab Saudi ke atas Yemen sejak lima tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas