Berita

Tiga lagi premis niaga bakal dibangunkan, jana ekonomi

AMINUDDIN (dua dari kiri) menyerahkan apron kepada peniaga pada majlis perasmian Kiosk@11 di Presint 11, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 7 Mac 2020 7:18 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) bakal membangunkan tiga premis perniagaan awam baharu berjumlah RM11 juta secara keseluruhan sekali gus mampu menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Menurut Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim, projek itu membabitkan pembinaan lima unit kiosk di Presint 6, tiga unit di Dataran Putra dan medan selera baharu di Presint 8.

“Kita telah siap menaik taraf beberapa kemudahan premis perniagaan awam dan telah beroperasi semula sejak Januari 2020 termasuklah 13 lot niaga Medan Selera Presint 11, 17 lot niaga Medan Selera Presint 9 dan Taman Warisan Pertanian, Presint 16.

“PPj juga telah membangunkan empat unit kiosk (kiosk merah) baharu di Persiaran Perdana yang dijangka beroperasi April ini,” kata beliau ketika majlis perasmian Kiosk@11, Presint 11, baru-baru ini.

Kiosk@11 yang memulakan operasinya pada 15 Febuari lalu memberi kemudahan kepada komuniti setempat di Presint 11 khasnya bagi penghuni di Pangsapuri PRIMA, Putra Damai, PPAM Palma dan PPAM Melinjau serta Apartment Kuarters Kerajaan Presint 11.

“Kiosk yang mempunyai 12 ruang niaga tersebut dibina di bawah peruntukan Program Pembangunan Ekonomi Bumiputera (PEB) itu da­pat mem­bantu usahawan bumiputera menjalankan aktiviti per­niagaan secara lebih teratur dan tersusun.

“Ia merupakan premis gerai makanan ketiga yang berjaya dibangunkan Perbadanan Putrajaya (PPj) selepas Kiosk D’Harmoni, Presint 9 dan Kiosk D’ Belian, Presint 14,” ujar beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas