Berita

MTEM gesa rapatkan jurang ekonomi antara kaum

- Diterbit 7 Mac 2020 7:48 AM MYT

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mahu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) diteruskan di bawah kerajaan baharu yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani jurang antara kaum dan mewujudkan nilai tinggi ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, komuniti ekonomi bumiputera berharap agenda pemberdayaan bumiputera akan ditingkatkan di bawah pentadbiran baharu.

“Kerajaan harus melaksanakan projek-projek pembangunan yang cepat untuk menggerakkan ekonomi berdasarkan satu dasar induk bumiputera di bawah WKB2030 dan bukannya meneruskan usaha penjimatan yang hanya untuk menunjukkan mesej politik tetapi tidak memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

“Jangan biarkan falsafah memaksa pasaran untuk menentukan nasib negara. Kita perlu menerima campur tangan kerajaan supaya kualiti hidup semua rakyat Malaysia khususnya bumiputera dapat diperbaiki dengan cepat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Muhyiddin dalam perutusan khasnya Isnin lalu dipetik sebagai berkata, WKB2030 akan diteruskan sebagai agenda utama di bawah pentadbirannya.

Ahmad Yazid berkata, bagi meningkatkan keyakinan rakyat, ahli perniagaan dan pelabur, tokoh yang berwibawa dan kompeten mesti dilantik ke badan perundangan, Pejabat Peguam Negara, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas