Berita

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dibentang ke Kabinet

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 22 April 2024 7:40 PM MYT

CADANGAN penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan akan dirujuk kepada Jemaah Menteri, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya cadangan itu yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRI15) lepas kini dalam peringkat akhir penelitian mengenai cadangan tersebut.

“Saya berharap dalam waktu terdekat, kita akan dapat umum perkara ini dan saya semestinya kena rujuk kepada Kabinet sekiranya perkara itu dapat dimuatkan dalam nota atau memorandum Jemaah Menteri.

“… perkara ini (penubuhan suruhanjaya) saya pastinya akan bawa kerana ia antara perkara kita sebut dalam manifesto,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2023 di sini hari ini.

Dalam PRU15, PH menerusi manifestonya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menangani isu doktor kontrak dan mengukuhkan pengurusan sumber manusia, perjawatan, latihan dan perkembangan kerjaya petugas kesihatan.

Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan pada kadar segera. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas