Berita

Isu royalti petroleum: Tiada istilah kerajaan bersifat zalim

- Diterbit 19 April 2024 12:45 PM MYT

ISU royalti dan peruntukan negeri Kelantan dan Terengganu merupakan antara isu panas yang diperkatakan di media sosial. Fitnah yang sering dilemparkan dengan menuduh kerajaan menyekat royalti tersebut.

Biarpun telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahwa kerajaan tidak zalim di mana peruntukan Persekutuan yang disalurkan kepada Terengganu adalah lebih tinggi berbanding kerajaan terdahulu namun sentimen ini terus dimainkan.

Terbaharu, individu tidak bertanggungjawab memuat naik hantaran di Facebook mengatakan PMX mengambil royalti berjumlah berbilion ringgit untuk dimasukkan ke akaun PKR adalah fitnah yang melampau.

Tampil menafikan perkara tersebut, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata tidak pernah ada jumlah seperti yang dituduh itu masuk ke dalam akaun PKR.

“PKR menerbitkan akaun setiap kali kongres diadakan dan akaun tersebut diaudit juruaudit bertauliah. Ada individu muat naik posting palsu dan fitnah yang amat jijik,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau juga telah mengarahkan supaya laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilakukan terhadap dakwaan berbilion ringgit wang royalti tersebut.

Fitnah di laman sosial saat ini dikhuatiri mengganggu gugat perpaduan kaum dan memberi impak kepada negara. Diharapkan orang ramai bijak dan tidak sewenang-wenangnya menerima bulat-bulat maklumat yang sampai.

Sebelum ini, PM ada menegaskan pemberian belanja pembangunan untuk negeri ditadbir PAS dan BERSATU itu, sebanyak RM1.59 bilion disalurkan kepada Terengganu tahun ini berbanding RM1.55 bilion tahun lalu.

Katanya, royalti petroleum dibayar kepada Terengganu juga bertambah semasa pentadbiran Kerajaan MADANI berbanding ketika PAS dan BERSATU berada dalam Kerajaan Persekutuan.

Justeru, tidak wujud istilah kerajaan bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaan telah melunaskan pemberian wang ihsan berdasarkan hasil petroleum 2023.

“Cuma kita tak bagi melalui Ahli Parlimen, kita beri pada rakyat, kita tumpu kepada miskin. Kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan, sama ada kaum, agama, kawasan atau parti,” katanya.

Terengganu mempunyai jumlah rakyat miskin yang ramai, belanja pembangunan lebih daripada jumlah yang disebut sebagai wang ihsan. Jika ada kecemasan atau yang mendesak, kerajaan terus memberi peruntukan untuk menyegerakan projek.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas