Agama

Tidak Berdosa Kahwin Suami Orang

- Diterbit 3 Disember 2020 10:24 PM MYT

ALKISAHNYA seorang janda mempunyai anak empat sedang hangat bercinta dengan suami orang. 

Lelaki tersebut seorang yang mempunyai kerjaya yang bagus dan berpendapatan tinggi serta berkemampuan jika berpoligami.

Isterinya pula tidak mengizinkan suaminya bernikah lagi walaupun rumah tangga mereka sudah lama tidak bahagia.

Dalam masa yang sama, satu masalah timbul apabila ibu dan keluarga janda itu tidak menyukai kekasih yang juga suami orang.

Bolehkah dia terus mengahwini lelaki tersebut tanpa keizinan isteri tua bakal suami? Perlukah dia meminta kebenaran ibunya untuk berumahtangga sekali lagi? 

Ini jawapan daripada pendakwah bebas popular Datuk Dr. Mashitah.

“Hidup sebagai janda yang menyara empat orang anak bukanlah perkara mudah seperti yang dilihat. Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul.

“Seorang isteri boleh memohon melarang suaminya berkahwin dua jika dirasakan suami tidak mampu. Suami pula berhak berkahwin walaupun tanpa izin isteri, itu hanya formaliti sahaja. 

“Mengahwini lelaki yang sudah berkahwin tidak salah. Cuma meruntuhkan kebahagiaan orang lain adalah salah.

“Jika rumah tangga itu yang bermasalah, maka isteri pertama tidak boleh menyalahkan suami jika dia beristeri lagi.

“Bagi seorang janda, dia tidak memerlukan izin keluarga untuk berkahwin lagi tetapi wali perlu sebagai syarat dan rukun perkahwinan. Sebab dia janda bukan anak dara,” katanya Datuk Dr. Mashitah. 

Semoga penjelasan ini sedikit sebanyak memberi jawapan dalam isu rumah tangga yang sememangnya berlaku dalam masyarakat ini. – WILAYAHKU

 

Sumber: Buku Fitrah Wanita – kompilasi kedua soal jawab, Datuk Dr. Mashitah.

Foto: instagram @tahu_nggak

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas