Artikel

Belanjawan 2021 kesungguhan kerajaan untuk rakyat

MUHYIDDIN lepasi ujian getir sebagai Perdana Menteri selepas Belanjawan
- Diterbit 5 Disember 2020 6:00 AM MYT

“Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukanRM6.5 bilion berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion di bawah BSH sebelum ini.

KEDUDUKAN kerajaan yang tidak kukuh bukan sahaja menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan, rakan sekutu juga akan sentiasa menunggu peluang merebut kuasa.

Justeru tidak hairanlah sejak Belanjawan 2021 dibentangkan 6 November lalu, cakap-cakap untuk menggagalkan undiannya menjadi sangat kuat.

Sekiranya Belanjawan 2021 gagal diluluskan ia bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Namun pada 26 November lepas, pembentangan bacaan kali kedua Rang UndangUndang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) telah diluluskan melalui undian suara.

Kelulusan melalui undian suara ini sangat anticlimax kepada segala macam sandiwara dan hiruk pikuk politik sejak ia kali pertama dibacakan minggu sebelumnya.

Sejak beberapa hari sebelum pengundian, terdapat angin yang hampir pasti bahawa Belanjawan 2021 akan mencatat sejarah sebagai belanjawan yang kali pertama gagal dalam undian.

Ini kerana Belanjawan 2021 bukan sahaja ditolak oleh blok pembangkang tetapi juga dikenakan syarat ketat oleh Barisan Nasional yang berada dalam blok kerajaan.

Barisan Nasional (BN) menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP selain melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.

Namun akhirnya Belanjawan 2021 bacaan kali kedua diluluskan setelah pihak penentang gagal mendapat sokongan 15 orang Ahli Dewan Rakyat (ADR) untuk memaksa diadakan undian secara terperinci secara belah bahagi.

Apa yang menyedihkan hiruk-pikuk isu KWSP, moratorium dan menggagalkan undian belanjawan telah menenggelamkan perbincangan dan perbahasan mengenai strategi Belanjawan 2021 bagi membina kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

RUU Perbekalan memohon kelulusan sejumlah RM322.50 juta bagi perbelanjaan kerajaan pada tahun 2021.

Ini merupakan belanjawan terbesar pernah dibentangkan dengan harapan ia bukan sahaja mampu menjaga kebajikan rakyat tetapi juga memulihkan ekonomi negara.

BANTUAN BERSASAR

Antara yang menarik perhatian penulis ialah penambahbaikan bantuan tunai bersasar melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). BPR merupakan penjenamaan semula dari Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Rakyat 1
Malaysia (BR1M).

Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah mengambil kira pendekatan isi rumah dan bilangan isi rumah. Ini bagi memastikan pemberian bantuan lebih adil kepada keluarga yang memerlukan.

Contohnya, isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan RM1,800.

Ada beberapa kategori lagi yang para pembaca boleh semak dalam teks belanjawan dan menampakkan
penambahbaikan yang menguntungkan rakyat.

Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion di bawah BSH sebelum ini.

Peningkatan dan pengklasifikasian semula sangat signifikan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

KUMPULAN RENTAN

Kerajaan juga mengumumkan kenaikan bantuan bulanan kepada kumpulan rentan atau kurang perlindungan sosial.

Elaun orang kurang upaya (OKU) yang tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 ringgit. Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada RM350 kepada RM500. Manakala kadar elaun pekerja OKU dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

Selain itu kadar bantuan bulanan Kanakkanak Keluarga Miskin turut dinaikkan daripada maksimum RM450 sebulan kepada RM1,000 sebulan.

Peningkatan lebih sekali ganda ini jelas merupakan komitmen kerajaan membela kumpulan bawahan. Apa yang perlu kita perhatikan juga ialah pada Julai 2020 kerajaan telah menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional kepada RM2,208 bagi setiap isi rumah berbanding RM908 sebelum ini. Ini sekaligus meluaskan kumpulan yang akan dibantu kerajaan dalam tahun 2021.

Dalam menjaga kesejahteraan rakyat juga had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius telah dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.

Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000.

Selain itu, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan dari RM5,000 kepada RM8,000.

Ini semua hanyalah sebahagian kecil ratusan langkah kerajaan dalam Belanjawan 2021 bagi menjaga kesejahteraan rakyat.

Hampir RM28 bilion diperuntukkan khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif langsung kepada golongan
berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Selain bantuan secara langsung kepada rakyat, kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif bagi memulihkan ekonomi.

RM600 JUTA UNTUK PKS

Antaranya inisiatif Geran Prihatin Khas (GPK) yang dibuka semula dengan peruntukan sebanyak RM600 juta bagi anggaran sebanyak RM200 ribu penerima kalangan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) Mikro adalah sangat tepat bagi memastikan kerancakan semula aktiviti ekonomi dalam kalangan peniaga kecil tempatan.

Sayangnya semua ini dan banyak lagi pengumuman penting Belanjawan 2021 yang prorakyat tenggelam dalam isu yang tiada kena mengena dengan RUU Perbekalan 2021 ini.

Sungguhpun perubahan dalam pengeluaran wang KWSP dan moratorium yang diumumkan tidak seratus peratus sama seperti yang diminta, ia masih memperlihatkan peningkatan jumlah pencarum yang terbabit dan menunjukkan kesungguhan kerajaan mahu memenuhi hasrat semua pihak.

Sesuatu yang perlu diingat, tanpa KWSP dan moratorium pun, Belanjawan 2021 telah mempamerkan sifat prihatin, ihsan dan kesungguhan kerajaan menangani rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas