Artikel

Tangani kemiskinan baharu akibat pandemik COVID-19

- Diterbit 30 November 2020 12:35 PM MYT

SATU laporan baharu yang bertajuk ‘Keluarga di Pinggiran’ telah dikeluarkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA). Kajian ini merupakan kajian fasa kedua terhadap 500 keluarga yang mempunyai kanak-kanak di flat kos rendah sekitar Kuala Lumpur susulan pandemik COVID-19. Golongan ini mendiami projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA).

Laporan UNICEF dan UNFPA ini bertujuan untuk menilai status sosioekonomi keluarga di flat kos rendah di sekitar Lembah Klang pasca perintah kawalan pergerakan dari Mei hingga September 2020.

Laporan ini memberi tumpuan terhadap kesan negatif pandemik COVID-19 ke atas kesejahteraan hidup wanita dan kanak-kanak dalam keluarga yang berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.

Dalam laporan ini, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur berada dalam kemiskinan mutlak. 37 peratus keluarga tidak berupaya untuk membeli makanan seharian yang mencukupi.

Kebanyakan keluarga miskin ini mengalami kesusahan yang lebih kritikal berbanding sebelum pandemik COVID-19. Hal ini membimbangkan kerana daripada 500 isi rumah yang dikaji, 68 peratus tidak mempunyai simpanan yang mencukupi. Mereka menyatakan bahawa mereka tidak mampu menyimpan ekoran jumlah gaji yang rendah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kajian ini mendapati bahawa 45 peratus daripada ketua isi rumah yang bekerja tidak mempunyai perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut laporan tersebut, jumlah pelajar dari komuniti miskin ini yang kembali ke sekolah menurun secara mendadak ekoran wabak COVID-19 yang menyebabkan sekolah ditutup.

Sejak pandemik ini melanda negara, banyak ibu bapa telah meluahkan kerisauan mereka kerana anak-anak hilang semangat untuk bersekolah meskipun Kementerian Pendidikan membuka sekolah semula apabila kawalan pergerakan dilonggarkan.

Satu daripada lima responden kajian ini telah menyatakan bahawa anak-anak mereka tidak bermotivasi untuk belajar di sekolah. Fenomena ini didapati lebih tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar dari rumah tangga di mana wanita adalah ketua rumah.

Laporan ini juga mendedahkan bahawa satu daripada dua responden digeluti oleh kesukaran untuk membayar yuran pengajian sementara 50 peratus daripada jumlah responden mengalami kesulitan untuk memberi wang saku kepada anak-anak dan hampir 20 peratus responden pula tidak mampu membiayai yuran pengangkutan ke sekolah.

Adalah jelas bahawa kesan negatif COVID-19 tetap menjadi isu utama dalam kalangan keluarga miskin di Kuala Lumpur. Dalam pada itu, isu kesihatan mental sangat membimbangkan. Hampir satu daripada lima ketua rumah (bapa) dan satu daripada tiga ibu tunggal mengalami kemurungan sejak penularan wabak COVID-19.

Mereka mempunyai perasaan takut, bimbang, cemas, marah dan tertekan mengenai keadaan ekonomi yang tidak menentu, kesejahteraan anak-anak dan ibu bapa mereka.

Tidak hairanlah dalam kajian ini, hanya 14 peratus ketua rumah berjangka keadaan kewangan mereka akan bertambah baik dalam tempoh masa enam bulan yang akan datang. Kebanyakan adalah pesimis.

Oleh hal yang demikian, langkah-langkah proaktif oleh kerajaan amat diperlukan. Menurut laporan ini, kerajaan disyorkan agar mengambil langkah-langkah seperti berikut.

Kerajaan hendaklah memperluas skim bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan kanak-kanak, warga emas, wanita yang terkesan dan orang kurang upaya, terutamanya mereka yang tinggal di flat kos rendah di bandar. Kerajaan perlu memperkukuhkan sistem perlindungan sosial dengan kadar segera.

Apabila sekolah dibuka, kerajaan juga disyorkan agar menyediakan makanan yang berkualiti dan berkhasiat kepada pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Di samping itu, kerajaan wajib memartabatkan langkahlangkah pencegahan keciciran sekolah melalui kerjasama antara Kementerian Pendidikan dengan agensi kebajikan sosial.

Akhir sekali, memandangkan pendapat laporan ini yang membangkitkan isu kemiskinan di bandar, kerajaan patut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dalam komuniti bandar yang miskin dan di sekolah.

Rancangan Malaysia Ke12 (RMK-12) yang bakal dibentangkan adalah satu peluang penting untuk merangka dasar sosial yang lebih berkesan untuk golongan bandar yang miskin di Malaysia.

#KitaSatu Public Forum, LIM WEN JYE
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas