Berita

Sedia ke Olimpik Paris 2024: Nur Aisyah idam peralatan basikal baharu

- Diterbit 22 April 2024 3:44 PM MYT

PELUMBA berbasikal lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir berharap dia diberikan kelengkapan dan peralatan baharu bagi menghadapi saingan di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata peralatan groupset (gear dan brek) serta bahagian tayar memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pada perlumbaan yang turut disertai pelumba wanita terkemuka dunia.

Pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik itu ketika ini menggunakan kelengkapan yang dianggap sudah ketinggalan berbanding peralatan lebih canggih digunakan pencabar lain pada temasya berprestij itu nanti.

“Kita pun tahu macam mana nak lawan pelumba terbaik dunia, mereka sudah pasti pakai kelengkapan terbaik. Kalau kita pakai bawah daripada mereka, ia menyukarkan kami untuk lawan. Peralatan pun memainkan peranan dalam 30 peratus.

“Saya harap dapat kelengkapan baharu sebelum bertolak ke Belgium pada Mei ini untuk kem latihan terakhir yang turut mempunyai beberapa kejohanan peringkat Eropah kerana perlu menyesuaikan diri dengan peralatan berkenaan,” ujarnya.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, hasrat tersebut telah disampaikan kepada Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin dan mendapat jawapan yang positif.

Mengenai latihan menjelang temasya lima tahun sekali itu, Nur Aisyah berkata pada masa ini tumpuan diberikan untuk meningkatkan daya ketahanan dan kekuatan sebelum menyertai sebarang kejohanan.

“Perlumbaan Jelajah Biwase Vietnam pada Mac lalu menjadi pengukur prestasi sebelum ke kejohanan lain kerana laluan di Paris hampir 160 kilometer dan sangat mencabar.

“Saya perlu melakukan latihan agak keras untuk memberikan yang terbaik kerana Olimpik ibarat peluang sekali seumur hidup,” ujarnya.

Terdahulu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada November lepas mengumumkan Nur Aisyah sebagai wakil negara ke Paris selepas mendapat makluman daripada Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) bahawa Malaysia mendapat satu slot sebagai wakil Asia dalam acara lebuh raya wanita berdasarkan ranking.

Atlet muda itu pernah meraih dua perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan serta satu gangsa acara kriterium di Sukan SEA Hanoi 2021 serta dua gangsa bagi acara lepas beramai-ramai individu dan kriterium pada Sukan SEA Kemboja, Mei lepas.

Di Sukan Asia Hangzhou, China, Nur Aisyah menamatkan saingan di tempat ke-11 acara lepas beramai-ramai selain konsisten dalam kedudukan 10 teratas bagi Jelajah Biwase Vietnam 2023 serta Jelajah Thailand 2022 dan 2023 selain enam emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas