Biz

Biskut raya tirai besi catat jualan RM646,000

- Diterbit 26 April 2024 9:55 AM MYT

PRODUK biskut raya yang dihasilkan oleh penghuni tirai besi (prospek) yang dipasarkan melalui Galeri Jualan Produk My Pride Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) di Kajang, Selangor mendapat sambutan di luar jangkaan dan berjaya terjual hampir 35,000 balang sempena Aidilfitri tahun ini.

Terdiri daripada 42 jenis biskut raya pelbagai pilihan antaranya almond London, tart nenas, kuih bangkit dan sebagainya, kuih yang dihasilkan ini adalah yang terpilih daripada institusi pengeluar biskut raya.

Sebanyak 14 institusi penjara termasuk Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam mengeluarkan produk biskut raya seluruh Malaysia. Walau bagaimanapun, 42 jenis biskut raya yang dijual hanya melibatkan biskut yang dihasilkan oleh prospek daripada 10 institusi penjara di Semenanjung Malaysia antaranya Penjara Wanita Kajang, Penjara Bentong, Penjara Pokok Sena dan Penjara Alor Setar.

Menurut Ketua Inspektor Jabatan Penjara Malaysia, Firdausi Lailuddin, biskut raya adalah produk bermusim namun sejak dipasarkan beberapa tahun lalu, jualan sangat memberangsangkan.

“Tahun ini sehingga 5 April 2024, hasil jualan di Galeri Jualan Produk My Pride IPPM sahaja telah mencecah sehingga RM 646,000.Kami juga menerima banyak respons positif daripada pelanggan rata-ratanya berpuas hati dari segi rasa, harga serta kualiti.

“Produk kami menggunakan bahan mentah yang berkualiti serta mendapat pengiktirafan persijilan halal dari Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujar beliau.

Tambahnya lagi, stigma masyarakat kini juga dilihat telah berubah dengan menganggap produk My Pride amat mementingkan kualiti serta memenuhi kepuasan hati pelanggan.

“Saya berharap produk ini akan terus mendapat sambutan pada masa hadapan disamping dapat meningkatkan lagi kualiti produk My Pride serta menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pasaran,” ujarnya.

“Pada tahun ini juga, Galeri Jualan Produk My Pride IPPM julung kalinya memperkenalkan perkhidmatan penghantaran yang mana berkolaborasi dengan Pos Malaysia. Para pelanggan yang hadir ke galeri kami boleh menggunakan perkhidmatan ini dengan membuat tempahan di kaunter galeri dan pihak kami akan menguruskan penghantaran tersebut,” ujarnya.

Mana-mana individu atau pihak yang ingin mendapatkan produk My Pride boleh mengunjungi Galeri Jualan Produk My Pride di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada setiap hari kecuali cuti am dan cuti umum.

Maklumat lanjut boleh layari laman sosial rasmi Facebook Galeri Produk My Pride atau Instagram @galeriprodukmypride. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas