Artikel

Peningkatan kes COVID-19 bukan wayang tapi realiti

WABAK COVID-19 pernah menyerang dunia pada tahun 2020
- Diterbit 8 Disember 2023 1:00 AM MYT

PENINGKATAN secara mendadak kes wabak COVID-19 dalam negara dikatakan adalah rekaan kerajaan semata-mata atau wayang kerana mahukan rakyat menjalani proses vaksinasi.

Malah, tidak kurang juga yang mempersoalkan kenapa pihak bertanggungjawab tidak mengumumkan atau mengesyorkan kepada rakyat agar kembali berjaga-jaga dengan wabak tersebut lebih awal.

Pelbagai fitnah timbul sedangkan sepatutnya rakyat perlu berterima kasih kerana diberitahu tentang wabak COVID-19 yang pernah mengancam dunia satu ketika dahulu.

Baru-baru ini dilaporkan sebanyak 3,626 kes COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata majoriti kes iaitu 48 peratus membabitkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Beliau berkata kes mingguan COVID-19 dikesan telah melepasi angka 1,000 pada setiap minggu sejak ME 41/2023 hingga ME 47/2023 dengan kadar peningkatan antara 7.1 hingga 57.3 peratus.

“Jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan hingga ME 47/2023 ialah 7,248. Majoriti kluster yang dicatatkan ialah kluster pendidikan,”katanya dalam kenyataan kepada media baru-baru ini.

Dr Muhammad Radzi berkata terdapat lapan kluster COVID-19 yang masih aktif dilaporkan dengan 121 kes terlibat dalam kluster berkenaan.

Walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19, namun keadaan adalah terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

“Empat varian Omicron baharu dilaporkan pada ME 47/2023 yang kesemuanya terdiri daripada varian membimbangkan (VOC). Dua kes varian Omicron baharu BA.2.86 dilaporkan di Malaysia pada ketika ini dengan kedua-dua kes dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil,” ujar beliau.

Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini melaporkan peningkatan varian BA.2.86 yang pertama kalinya dilaporkan pada 24 Julai lepas dan diklasifikasikan sebagai VOI.

Sehingga kini, terdapat hampir 46 negara melaporkan varian BA.2.86, namun tiada perubahan dari segi klinikal dan keterukan disebabkan varian berkenaan.

Dalam keadaan sekarang, sepatutnya pihak yang tidak tahu apa-apa tidak perlu mereka-reka cerita sehingga menakut-nakutkan orang lain. Apa kata jaga diri sendiri dan orang tersayang supaya tidak dijangkiti wabak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas