Artikel

13 tahun tanpa cukai jalan

- Diterbit 8 Disember 2023 3:20 AM MYT

TERKEJUT dan hairan. Takut pun ada. Itu reaksi kawan-kawan Kedai Kopi apabila membaca laporan sebuah ambulans milik agensi perkhidmatan penyelamat kecemasan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Ipoh, kerana tidak mempunyai perlindungan insurans.

Bukan itu sahaja, ambulans tersebut tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau yang biasa kita sebut sebagai cukai jalan selama 13 tahun. Apa sudah jadi?

Dengan kata lain, ambulans tersebut bergerak secara haram di atas jalan raya membawa pesakit tanpa dapat dikesan oleh pihak berwajib sedangkan ia memang tidak layak beroperasi, apatah lagi sebagai kenderaan kecemasan.

Jika pihak berwajib tidak dapat mengesan pun, pemilik syarikat mesti tahu dan bertanggungjawab. Ambulans itu mesti disimpan. Bayangkan 13 tahun dibiar beroperasi menunjukkan syarikat pengendali sengaja tidak berhasrat mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan.

Syarikat terus memberanikan diri beroperasi kerana dalam tempoh yang lama itu aktiviti tidak dikesan. Sangat dikesali ia langsung tidak ambil berat kepentingan pemandu dan pekerja ambulans, juga pesakit yang dibawa.

Selama ini kerap juga tersiar banyak kisah kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dilindungi insurans dan tiada cukai jalan begerak di jalan raya. Gaya mereka seperti raja jalan raya, bergerak dengan angkuh sehingga ditakuti oleh kenderaan lain. Tetapi tiada cukai jalan.

Ramai pula di antara mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya serta mengutip belasan atau puluhan saman yang tidak pernah dijelaskan. Malangnya semua ini hanya terbongkar apabila berlaku kemalangan, sering kali kemalangan maut.

Namun tidak pernah terlintas dalam kotak pemikiran kawan-kawan Kedai Kopi bahawa ambulans, kenderaan kecemasan penting untuk membawa pesakit mendapat rawatan di hospital, secara teknikalnya bergerak di atas jalan raya secara haram kerana tiada insurans dan cukai jalan.

Bayangkan 13 tahun tidak ada cukai jalan, yang bermakna tiada perlindungan insurans untuk tempoh sama. Ini kerana cukai jalan hanya boleh diambil jika ada insurans. Oleh itu, dalam kes ini, cukai jalan tiada dipercayai sebab tiada insurans.

Rahsia ambulans ini terbongkar apabila ia ditahan dalam operasi JPJ Perak ketika tugas rondaan oleh anggota penguat kuasa Unit FALCON Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ Perak. Ketika ditahan ambulans itu membawa seorang pesakit untuk dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Pihak JPJ menggunakan budi bicara mengarahkan pemandu menghantar pesakit ke hospital terlebih dahulu, mengambil kira keselamatan pesakit yang perlu mendapat rawatan segera. Selepas itu baharu ambulans tersebut dibawa ke ibu pejabat JPJ Perak untuk pemeriksaan lanjut dan disita.

Pemeriksaan lanjut JPJ mendapati insurans dan cukai jalan ambulans itu sudah tamat tempoh sejak Mac 2010. Jika tidak kerana operasi JPJ itu, tidak tahu berapa lama lagi ambulans berkenaan bergerak tanpa izin. Ini satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius.

Jika berlaku tragedi, pemandu dan pekerja yang ada di dalam ambulans berkenaan tidak mendapat perlindungan. Lebih malang lagi kerana ketika itu ia membawa pesakit, maka pesakit berkenaan akan turut menerima padah. Memang menakutkan.

Kawan-kawan Kedai Kopi berharap peristiwa ini menjadi pengajaran serta peringatan kepada JPJ agar sentiasa memantau kenderaan kecemasan bagi memastikan ia mematuhi peraturan demi keselamatan penumpang.

Mungkin selama ini wujud andaian kenderaan kecemasan sentiasa mematuhi peraturan. Namun peristiwa di Ipoh membuktikan ia tidak semestinya begitu. Tidak mustahil kes seperti ini berlaku di tempat lain juga, termasuk di Wilayah Persekutuan.

Setiap negeri wajar membuat pemeriksaan segera dan berkala memastikan kenderaan kecemasan sentiasa mematuhi syarat berada di atas jalan raya. Ingat sebelum kena. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas