Berita

BWF, Foundit kerjasama gilap bakat badminton

BWF mengumumkan kerjasamanya dengan Foundit, platform bakat terkemuka di Asia Pasifik dan Timur Tengah untuk memacu semangat kecemerlangan yang ada dalam kalangan pemain-pemain badminton seluruh dunia. Kredit foto: Envato
- Diterbit 22 April 2024 5:05 PM MYT

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan Foundit, platform bakat terkemuka di Asia Pasifik dan Timur Tengah untuk memacu semangat kecemerlangan yang ada dalam kalangan pemain-pemain badminton seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Foundit Sekhar Garisa berkata perkongsian ini merupakan projek jangka panjang Foundit sebelum ia menjadi Rakan Bakat Rasmi BWF untuk 20 kejohanan penting sepanjang tahun termasuk Piala Thomas & Uber, Terbuka Seluruh England, Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura, dan Terbuka India.

“Ini adalah tahun pertama Foundit bersama BWF, tetapi kami telah mengadakan beberapa perbincangan bagi menjadikan ia perkongsian bagi jangka masa panjang, kami di sini untuk menyokong sukan ini, kontrak semasa adalah secara percuma,” katanya dalam sidang media maya mengenai kerjasama antara Foundit dan BWF.

Sementara itu, Setiausaha Agung BWF Thomas Lund berkata BWF teruja menjadi rakan kongsi Foundit untuk pembangunan bakat.

“BWF ingin membantu Foundit menyampaikan mesej-mesej utama yang selaras dengan nilai kami, badminton ialah sukan yang dibina atas dedikasi, kerja keras dan mengejar kejayaan, yakni nilai-nilai yang sangat bersesuaian dengan misi Foundit.

“Melalui gabungan tenaga ini, kami menyasarkan untuk memberi inspirasi kepada individu untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya dan memberi impak yang berkekalan dalam kerjaya mereka,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas