Berita

Henti sikap suka menangguk di air keruh

- Diterbit 22 April 2024 4:06 PM MYT

ORANG ramai diseru untuk menghentikan sebarang provokasi atau terus menyuarakan isu stoking tertera kalimah Allah untuk kepentingan diri sendiri.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata perkara tersebut tidak seharusnya dipanjangkan kerana ia akan membawa keadaan tidak selesa dalam kalangan kaum-kaum lain.

“Kita negara yang mempunyai masyarakat majmuk, isu seperti ini amat sensitif, jangan jadikan ia sebagai peluru memburukkan negara.

“Kekuatan negara kita adalah kerana kepelbagaian masyarakat yang berbilang kaum, bangsa serta agama,” kata beliau.

Tambah Azman, sebagai seorang Muslim, agama Islam ti­dak pernah mengajar umatnya untuk berlaku zalim.

“Agama kita tak pernah menyuruh umatnya untuk melakukan kezaliman. Kita sedar bahawa isu stoking ini menimbulkan kemarahan namun tidak perlu untuk kita menghukum berlebih-lebihan.

“Malahan, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai juga sudah meminta maaf serta bekerjasama dengan pihak berkuasa,” ujarnya.

Jelas Azman, orang ramai juga seharusnya lebih peka terhadap isu yang boleh membangkitkan isu-isu 3R (agama, raja dan kaum).

“Saya berharap agar tiada pihak yang cuba untuk menggunakan isu ini untuk meraih populariti.

“Hentikanlah sikap menangguk di air yang keruh, banyak lagi perkara-perkara atau isu-isu berfaedah lain,” katanya.

Seiringan itu, Azman turut menasihati pemimpin-pemimpin kerajaan juga supaya menghentikan isu ini daripada terus menjadi bualan orang ramai.

Malah menurutnya, banyak usaha atau bantuan kepada masyarakat yang telah dilaksanakan oleh kedai serbaneka tersebut.

“Kalau lihat sejarah, kedai tersebut, hampir 20 tahun sudah bertapak dengan kira-kira 800 cawangan di seluruh negara.

“Program bersama pemimpin, membantu membekalkan barangan kepada golongan yang memerlukan terutamanya fakir miskin dan banyak lagi,” ujarnya.

Selain itu, Azman berkata secara logik akal, mengapa seseorang peniaga mahu meruntuhkan empayar perniagaan yang dibinanya selama ini.

“Kadang-kadang bila perkara sebegini terjadi, ia mengajak kita untuk berfikir, mengapa seorang peniaga mahu meruntuhkan perniagaan yang dibina selama ini, ia seperti tidak logik.

“Pihak kedai serbaneka juga ada melakukan kecuaian, di peringkat pengurusan tidak membuat semakan teliti sebelum diedarkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas