Artikel

Dakwaan Sabah dipinggir isu pemberian khas

KADAR baharu RM300 juta kepada kerajaan negeri Sabah telah disempurnakan. -Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2023 12:50 AM MYT

BARU-BARU ini tular sebuah video seolah-olah mahu melaga-lagakan Sabah dengan kerajaan. Pada asalnya video tersebut tentang Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau yang meminta penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan tentang formula pemberian khas sebanyak 40 peratus hasil negeri tersebut.

Namun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba merosakkan hubungan Sabah dan Kerajaan Persekutuan apabila meletakkan kapsyen Borneo dipinggirkan Madani. Retak menanti belah, selangkah tumbangnya Madani yang lemah.

Video berniat jahat ini disebarkan kerana mahu mencipta persepsi negatif masyarakat khususnya rakyat Sabah terhadap kerajaan. Sedangkan isu pemberian hasil kepada Sabah ini sudah pun diperjelaskan.

Semakan kadar pemberian khas bagi Sabah dan Sarawak dengan pembentangan Warta Kerajaan Persekutuan pada 24 November 2023 adalah susulan daripada persetujuan bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, pemberian khas sebanyak RM300 juta tersebut adalah merupakan pengaturan interim (interim arrangement) sebagaimana yang diperjelaskan dalam kenyataan media Perdana Menteri baru-baru ini.

Kata beliau, warta tersebut boleh dipinda pada bila-bila masa sebaik persetujuan baharu dicapai di antara ketiga-tiga peringkat kerajaan.

“Di samping menuntut penjelasan tentang asas kadar baharu tersebut, saya fikir YB Tuaran (Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau) juga mempunyai kewajiban untuk membuat penjelasan bagaimana Kerajaan Negeri pimpinan Warisan pada tahun 2019 telah membuat persetujuan rasmi untuk kadar kenaikan yang jauh lebih rendah iaitu hanya RM53.4 juta sahaja, berbanding RM300 juta yang baru diwartakan.

“Pada masa itu, warta dalam proses dikeluarkan tetapi tidak selesai sepenuhnya apabila Kerajaan Warisan terpaksa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah setelah majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menyokong kepimpinan Ketua Menteri (KM), Datuk Seri Panglima Shafie Apdal,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bayaran pemberian khas tahun 2023 pada kadar baharu RM300 juta kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah disempurnakan baru-baru ini.

Jelas beliau, pelaksanaan semakan kadar amaun pemberian khas melalui penyelesaian secara interim itu telah diwartakan.

Menurut beliau, pembayaran berkenaan berdasarkan Perkara 112D(1) dan 112D(5) Perlembagaan Persekutuan, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sarawak) 2023 telah diwartakan dalam Warta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas