Berita

Penjawat awam perlu jalani kursus antirasuah secara berkala – MCW

- Diterbit 26 April 2024 8:45 AM MYT

PENJAWAT awam perlu memastikan integriti dan kualiti perkhidmatan mesti dipertingkatkan selari dengan kenaikan gaji yang akan diterima pada tahun ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata kenaikan yang akan diumumkan pada 1 Mei ini mestilah disertakan dengan penambahbaikan mutu pekerjaan terutamanya integriti.

“Adalah wajar penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji ini dikehendaki menandatangani perjanjian khas untuk menjadi bertambah baik dan sanggup menerima hukuman yang lebih berat jika mereka masih mengulangi kesalahan yang sama.

“Mereka juga wajib menjalani kursus etika dan kesedaran antirasuah secara berkala dengan lebih kerap bagi meningkatkan mutu pekerjaan mereka,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Menurut Jais, pihaknya bersetuju bahawa kenaikan amat diperlukan demi memenuhi keperluan asas kehidupan yang meningkat sekali gus dapat mengurangkan gejala rasuah.

“Melalui kenaikan ini, MCW melihat integriti dan motivasi kehidupan penjawat awam pasti akan meningkat kerana terdapat kaitan yang tinggi antara faktor rasuah dan kos sara hidup.

“Ramai penjawat awam memberi alasan mereka berdepan tekanan kewangan hingga terpaksa membuat pilihan termasuk menerima rasuah atau berhutang bagi memenuhi keperluan keluarga,” katanya.

Jais berkata kenaikan gaji merupakan perkara asas yang mesti diberikan bagi mengelakkan mereka terpalit dengan masalah integriti disebabkan tekanan kewangan dan ketidakseimbangan ekonomi.

“Seperti di negara maju yang lain, gaji yang mencukupi telah terbukti berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme mereka. Malah, negara jiran Indonesia juga telah memberi kenaikan gaji khas lapan peratus untuk penjawat awam mereka.

“Pemikiran yang segar tanpa perlu memikirkan sangat tentang kekangan kewangan sudah pasti akan membolehkan mereka fokus kepada tugasan harian dan ia adalah perkara normal kepada setiap manusia,” katanya.

Jais berpendapat bahawa insentif dan ganjaran sedia ada dalam perkhidmatan awam sekarang sudah mencukupi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas