Berita

Menteri, bekas menteri antara dipertaruhkan BN hadapi PRN

- Diterbit 22 Julai 2023 12:00 AM MYT

MENTERI dan bekas menteri adalah antara nama besar yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Menteri Pertahanan mengetuai senarai itu apabila diumum sebagai calon di kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Menteri Belia dan Sukan pula diumum sebagai calon bagi kerusi DUN Bertam, Pulau Pinang.

Turut dinamakan, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Kedah sebagai calon kerusi DUN Pedu, Kedah, manakala Datuk Seri Ahmad Said yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Terengganu akan mempertahankan kerusi DUN Kijal.

Nama-nama itu diumum Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada majlis pengumuman calon BN pada PRN negeri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini yang dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin BN lain.

Sementara itu, pengumuman malam ini turut menyaksikan nama-nama baharu yang ditampilkan BN antaranya Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson Mohd Najib Mohd Isa dan Ketua Puteri UMNO Kedah Nuraini Yusoff. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas