Berita

Forum Umrah dan Ziarah 2024 tawar harga perkhidmatan lebih rendah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 April 2024 11:05 PM MYT

PENGANJURAN Forum Umrah dan Ziarah 2024 telah membuka mata pengendali agensi pelancongan berkaitan umrah apabila berjaya mendapat penjimatan harga hingga 10 peratus.

Pemilik Samira Travel yang beroperasi di Jakarta, Indonesia Fauzi Wahyu Muntoro berkata pemain industri mendapat penjimatan harga bagi beberapa kemudahan yang ditawarkan seperti hotel, pengangkutan dan visa.

“Selepas mendekati lebih 15 syarikat pempamer di bawah satu bumbung, kami telah membuat perbandingan harga dan berjaya mendapatkan pakej penginapan dengan tawaran harga lebih rendah sebanyak 10 peratus.

“Kemudahan yang disediakan membolehkan jemaah dapat merasai pengalaman menjalani umrah dengan selesa dan penuh ketakwaan,” katanya kepada Bernama di Forum Umrah dan Ziarah 2024 di sini hari ini.

Berpengalaman selama tujuh tahun menguruskan jemaah ke Madinah dan Mekah turut membantu beliau mendapatkan pakej belian visa yang lebih murah meskipun perbezaan harga tidak begitu ketara.

Fauzi berkata bagi mendapatkan maklumat secara bersemuka daripada syarikat pengendali perkhidmatan di Arab Saudi, beliau dan isteri, Dini Lukitasari, mengambil keputusan berkunjung ke Forum Umrah dan Ziarah 2024 pada hari kedua penganjurannya.

Menguruskan kira-kira 3,000 jemaah sebulan terutama dari Indonesia dan Malaysia, beliau juga berkesempatan membuat pengesahan dan ketulenan setiap syarikat pengendali perkhidmatan bagi menjaga imej agensi pelancongan yang diusahakan serta mengelak berlaku penipuan.

“Forum ini juga memberi ruang kepada saya untuk berkenalan dengan penyedia perkhidmatan baharu sebagai inisiatif menampung keperluan jemaah yang tinggi pada musim tertentu kerana kami juga mengendalikan jemaah dari Malaysia,” katanya.

Demi memberikan khidmat terbaik kepada umat Islam dari seluruh dunia yang berhasrat mengerjakan umrah dan ziarah, forum itu turut mempamerkan inisiatif Kerajaan Arab Saudi mempelbagaikan inovasi, perkhidmatan serta tarikan terkini di negara berkenaan.

Seiring kemajuan teknologi, acara berprestij itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Salman, Madinah dari 22 hingga 24 April turut mengetengahkan kecerdasan buatan agar jemaah dapat meraih pengalaman lebih meluas ketika mengunjungi Arab Saudi.

Forum Umrah dan Ziarah 2024 dirasmikan oleh Gabenor Madinah Putera Salman bin Sultan Abdulaziz Al Saud pada Isnin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas