Berita

YWP komited bantu kerajaan noktah miskin bandar

PELAJAR-PELAJAR universiti membantu kanak-kanak menguasai bahasa Inggeris menerusi program yang dijalankan.
- Diterbit 22 Julai 2023 1:00 AM MYT

ISU kemiskinan ­bandar ­bukanlah perkara ­baharu ­sebaliknya ia menjadi ­tumpuan utama kerajaan dalam ­melaksanakan pelbagai ­pendekatan bagi menoktahkannya.

Selari dengan objektif ­penubuhannya, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) ­sentiasa komited membantu ­menaik taraf hidup ­golongan berpendapatan rendah (B40) dan memerlukan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya,

ABDUL BASIR

berkata fokus utama adalah ­untuk mendapatkan dana atau peruntukan bagi melaksanakan ­program-program yang dirancang.

“Untuk itu, kita ­memerlukan ­kerjasama pelbagai pihak dan sokongan agensi kerajaan, ­syarikat atau individu dalam membantu ­kerajaan meleraikan isu kemiskinan bandar tersebut.

“Antara program yang ­kita ­lihat dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat adalah mewujudkan platform digital dan fizikal buat golongan suri rumah ­mendalami ilmu kemahiran ­seperti ­jahitan, masakan, kraf tangan dan sebagainya.

“Secara tidak langsung, ­mereka boleh menstabilkan kembali dan membantu ketua isi rumah iaitu suami, menambah wang simpanan selain menaik taraf kehidupan mereka sekeluarga,” kata beliau ­kepada Wilayahku.

Dr Bashir yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Segambut turut berharap warga kota mengambil kesempatan melayari laman web rasmi YWP untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan apa jua aktiviti, program termasuk ­bantuan yang disediakan.

Dalam perkembangan lain, ­beliau turut berkata ­baru-baru ini, Program Pendidikan The English Camp in Segambut ­bersama 100 pelajar sekolah rendah telah ­dianjurkan untuk menarik ­minat kanak-kanak berumur lapan ­hingga 12 tahun mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris.

“Program ini mendapat ­sokongan dan penyertaan ­daripada ­universiti antaranya Universiti Sunway, Universiti Lancaster, Universiti Falmouth, Universiti Birmingham termasuk tenaga pengajar sukarela,” kongsi beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas