Berita

REE Kedah: SPRM tahan seorang lagi individu, malam tadi

- Diterbit 21 Julai 2023 12:15 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Sumber berkata suspek berusia 50-an merupakan pembantu kepada pemilik syarikat dan ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Suspek berkenaan kini direman selama empat hari sehingga 24 Julai selepas Majistret M.Mageshwary membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, di mahkamah sama, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang suspek wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat selama dua hari hingga Ahad ini.

Seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang ditahan SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu telah dibebaskan hari ini, kata sumber.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan REE di Kedah.

Kedua-dua individu yang berusia 63, dan 40 tahun itu direman tiga hari hingga hari ini selepas ditahan di sekitar Alor Setar dan ibu negara.

Menurut sumber, syarikat terbabit dipercayai telah menjalankan aktiviti perlombongan itu secara haram sejak 2020 dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya telah merakam kenyataan 12 individu bagi membantu siasatan kes tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas