Berita

200 wanita terima sumbangan Aidilfitri

- Diterbit 2 April 2024 3:01 PM MYT

SERAMAI 200 penerima di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan kuih raya termasuk bakul makanan dan naskah Al-Quran.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia bersempena program Tautan Kasih Ramadan Bandar Tun Razak yang terdiri daripada golongan wanita yang merupakan warga emas dan ibu tunggal.

Katanya, sumbangan itu juga diberikan bagi membantu mereka melakukan persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya berterima kasih kepada HRD Corp dan Yayasan Restu yang telah menyumbang 200 bakul makanan dan 200 naskah Al-Quran kepada penerima hari ini.

“Untuk naskah Al-Quran, kita berikan dalam bentuk bahasa Arab tetapi Yayasan Restu juga turut menerbitkan Al-Quran versi tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin,” katanya ketika ditemui media di Masjid Ibnu Khaldun.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Ketua Pegawai Sumber Manusia HRD Corp, Siti Suryati Kama Asnawi dan Pengarah Komunikasi Korporat Yayasan Restu, Norashikin Abdul Latiff.

Pada majlis itu, Azizah turut berkesempatan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) rangka tindakan kebersihan dan penarafan kawasan Kuala Lumpur di antara wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Bandar Tun Razak dan agensi kerajaan serta pihak berkaitan.

MoU yang diadakan bersama pihak bomba, polis, pegawai masjid serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan bagi memastikan semua rakan strategik mengetahui peranan di samping memberi kerjasama bagi memudahkan tindakan pembersihan dan penguatkuasaan oleh DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas