Berita

Tabung Haji lantik 3 pengurus kanan baharu, kukuhkah kewangan dan pelaburan

Mohamad Damshal, Merina dan Fawwaz.
- Diterbit 25 Februari 2020 8:49 AM MYT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan tiga lantikan baharu pengurusan kanan iaitu Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Pelaburan dan Pengurus Besar Pelaburan Strategik bagi mengukuhkan pentadbiran kewangan serta pelaburannya.

TH dalam satu kenyataan berkata, Datuk Merina Abu Tahir telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan berkuat kuasa pada 5 Februari lalu.

Beliau merupakan Akauntan Bertauliah Malaysian Institute of Accountants (MIA), Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), ASEAN Chartered Professional Accountant (ASEAN CPA) dan Institute of Internal Auditors Malaysia (IIAM).

“Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman bekerja di pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk multinasional, institusi kewangan dan amalan audit.

Pengalaman luas Merina meliputi aspek pengurusan umum, kewangan, komersial, pembangunan perniagaan dan audit dalaman serta luaran.

Selain pernah dilantik sebagai ahli Majlis MIA pada Disember 2016 hingga November 2019, beliau juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu, bagi mengukuhkan pengurusan pelaburan, TH telah melantik Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (berkuatkuasa 20 Januari 2020).

Beliau merupakan lulusan MBA dari University of Toledo, Ohio, Amerika Syarikat (AS)  dan juga adalah pemegang charter sebagai Penganalisis Kewangan Bertauliah atau Chartered Financial Analyst (CFA).

“Sebelum menyertai semula TH, Mohamad Damshal merupakan Ketua Pelaburan Ekuiti dan Pendapatan Tetap di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Beliau mempunyai lebih 26 tahun pengalaman khususnya dalam bidang pengurusan pelaburan domestik dan luar negara, analisa kredit serta kawal selia risiko termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat dana pelaburan komersil,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, sebelum ini, Mohamad Damshal pernah berkhidmat di TH dari tahun 1999 sehingga 2003 di bahagian perancangan korporat dan pernah mengetuai pengurusan portfolio pelaburan pendapatan tetap.

Bagi meningkatkan potensi pelaburan aset strategik pula, kata kenyataan itu, TH telah melantik Muhammad Fawwaz Aminuddin sebagai Pengurus Besar Pelaburan Strategik berkuat kuasa 11 Februari lepas.

Beliau adalah pemegang CFA dari CFA Institute dan Akauntan Bertauliah (ACA) dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan strategi pelaburan dengan pengkhususan dalam perancangan strategik, pembangunan organisasi, penstrukturan transaksi, kewangan korporat, pengurusan projek, penilaian pelaburan serta pembangunan perniagaan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai juruaudit di Deloitte United Kingdom sebelum menyertai PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia sebagai perunding korporat.

Sebelum menyertai TH, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Besar di UMW Group dan sebagai pengurusan tertinggi beberapa buah syarikat di Timur Tengah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas