Selebriti

Meerqeen hilang berat badan

- Diterbit 22 April 2024 3:58 PM MYT

PELAKON Meerqeen, 23, mengakui sekarang merupakan waktu untuknya bekerja keras dalam kerjaya untuk meletakkan dirinya sebaris pelakon hebat di Malaysia suatu hari nanti.

Sepanjang empat tahun bergelar pelakon, dia sedar komitmen dalam bidang lakonan memaksa dirinya melupakan kehidupan seperti anak muda lain di luar sana.

“Bagi saya, fikir kerja lebih utama buat masa sekarang. Iyalah, sementara orang nak dan peluang itu datang. Tak dinafikan, ramai juga yang tegur apabila nampak badan saya sedikit susut. Mungkin disebabkan terlalu kuat bekerja.

“Jujurnya saya pun tak sedar sama ada saya kurus atau sama. Saya pun tak ada timbang berat. Tapi orang sekeliling perasan saya makin kurus,” katanya.

Disebabkan komitmen kerja, Meerqeen hanya bercuti empat hari sempena hari raya dan kembali ke set penggambaran drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi siaran Astro.

“kami sekeluarga menyambut hari raya dengan sederhana. Saya lebih selesa sederhana dan tidak ajar diri untuk berlebih-lebih. Dalam masa yang sama, saya tidak lupa untuk berkongsi rezeki dengan keluarga,” ujarnya.

Ditanya tentang gosip cinta bersama pelakon Erysha Emyra yang digandingkan bersamanya dalam drama Cinta Untuk Sekali Lagi, Meerqeen akui wanita tersebut adalah kawan baiknya.

“Hubungan tersebut memudahkan kami untuk bina keserasian dalam drama tersebut. Kalau cakap bab hati, saya serahkan sahaja kepada Allah SWT,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas