Berita

222 Ahli Parlimen menghadap Agong, tentukan pembentukan kerajaan baharu

|SEMUA 222 Ahli Parlimen akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dan esok.
- Diterbit 25 Februari 2020 6:18 AM MYT

PUTRAJAYA – Buat kali pertama, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah mengambil langkah mengadakan temubual khas seseorang demi seorang dengan 222 Ahli Parlimen di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Langkah tersebut diambil bagi mendapatkan satu keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, proses temubual tersebut bakal berlangsung selama dua hari iaitu seramai 90 Ahli Parlimen bakal dipanggil hari ini manakala bakinya esok.

“Pertemuan tersebut akan dilakukan secara ringkas dalam tempoh dua hinggga tiga minit atau kurang bagi setiap Ahli Parlimen dengan kumpulan pertama bermula pukul 2.30 petang ini,” katanya dalam sidang akhbar di depan pintu utama di Istana Negara hari ini.

SEMUA 222 Ahli Parlimen akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dan esok.

Ahmad Fadil berkata, temubual tersebut diadakan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendengar sendiri pandangan daripada semua Ahli Parlimen.

Beliau menjelaskan, proses temubual tersebut akan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali.

Katanya, langkah mengadakan temubual tersebut adalah susulan kepada penerimaan Yang di-Pertuan Agong ke atas peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri semalam.

Tambahnya, pertemuan tersebut diadakan secara perseorangan dan tidak dilakukan mengikut parti yang diwakili setiap Ahli Parlimen.

“Baginda telah berkenan untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara tunggu perlantikan Perdana Menteri baharu selaras dengan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebagai Perdana Menteri interim, Dr. Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik dan Kabinet dapat dibentuk.

“Peruntukan lantikan Perdana Menteri dapat dilihat dengan jelas dalam Perlembagaan Perkara 43(2)a di mana Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri seseorang daripada Ahli Dewan yang pada hemat baginda mendapat kepercayaaan majoriti Ahli Dewan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong akan melakukan perkara tersebut secara telus supaya pihak media tidak membuat sebarang spekulasi dan makluman akan diberikan dari semasa ke semasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas