Berita

PH yakin capai sokongan majoriti mudah bentuk semula kerajaan

KHALID bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam ini.
- Diterbit 25 Februari 2020 2:43 PM MYT

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) diyakini berjaya mendapatkan sokongan majoriti mudah untuk membentuk semula kerajaan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd. Samad berkata, meskipun angka yang diperoleh pada masa ini tidak mencapai  dua pertiga namun ia mampu membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.

“Tidak, kita tidak bincang mengenai PRU (Pilihan Raya Umum). Kenapa perlu bazirkan duit rakyat untuk mengadakan PRU sedangkan kita boleh dapat majoriti.

“Majoriti dua pertiga adalah perkara lampau dan tidak perlu dibincangkan lagi. Majoriti mudah sudah cukup untuk PH membentuk kerajaan,” katanya ketika pemberita  selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH seperti dipetik daripada Malaysiagazette malam ini

Khalid menyifatkan keputusan yang diambil PH adalah positif selepas mereka  membincangkan banyak isu dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, PH tidak membincangkan berkenaan calon Perdana Menteri yang baharu.

Dalam pada itu, PH dilaporkan turut mencapai persetujuan secara konsensus mengenai satu perkara sebelum baki Ahli Parlimen mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Difahamkan perkara tersebut akan didedahkan esok.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail keluar dari ibu pejabat PKR selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam ini.

Terdahulu pemimpin tertinggi PH, termasuk Anwar dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR, Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng daripada DAP dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dari Amanah tidak memberikan penjelasan lanjut  mengenai butiran perbincangan mereka dan bergegas meninggalkan ibu pejabat PKR selepas mesyuarat itu selesai.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas