Berita

Sukarelawan UM santuni kanak-kanak serebral palsi

- Diterbit 6 Disember 2019 9:01 AM MYT

PROGRAM 1Day 1Hope yang dianjurkan sukarelawan Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12) baru-baru ini menyantuni kanak-kanak serebral palsi di Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Parlimen Belia Malaysia Negeri Selangor disertai 30 pelajar.

Ia dianjurkan bagi membina platform sukarelawan yang berimpak di samping membina jaringan kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut penasihat program yang juga pelajar sarjana Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Danesh Raj Nagarajan, pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan untuk membantu kanak-kanak serebral palsi antaranya aktiviti yang merangsang pergerakan fizikal tubuh.

“Atas nasihat dan perbincangan bersama guru dan pihak pengurusan persatuan, kami telah merancang aktiviti yang memfokuskan kepada pergerakan tubuh serta penggunaan kemahiran motor.

“Kami difahamkan aktiviti seumpama itu akan melengkapi rawatan pemulihan yang dilalui golongan terbabit sepanjang berada pusat berkenaan,” katanya.

Menurut Danesh Raj, program 1Day1Hope akan diteruskan lagi secara berkala pada tahun 2020 di Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan serta beberapa lokasi lain yang akan ditetapkan kelak.

Ujarnya, penganjuran itu juga sejajar dengan hasrat UM yang mahu menghasilkan graduan yang mempunyai kesemua nilai teras universiti, terutamanya tanggungjawab sosial.

“Saya percaya program ini mampu membentuk mahasiswa yang bukan sahaja prihatin, malah proaktif dalam membina segmen masyarakat penyayang dan saling hormat-menghormati. Program ini turut dihadiri Datin Nur Sharmila Shaheen Mirza yang dilantik sebagai duta 1Day 1Hope,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program yang juga pelajar tahun kedua jurusan matematik UM, Muhammad Amirul Asraf Alias, 20, memberitahu, kelainan program yang dianjurkan adalah peserta melipat baju bersama kanak-kanak terlibat.

“Kemahiran yang kelihatan mudah ini melibatkan pelbagai kemahiran kognitif dan motor yang sebenarnya merupakan cabaran kepada kanak-kanak yang menghidap serebral palsi ini,” ujarnya.

Bagi peserta program, Anatasha Ahmad Nor, 20, dia berasa teruja kerana berpeluang mendekati kanak-kanak serebral palsi.

“Saya gembira dapat melayan karenah kanak-kanak ini. Walaupun mereka mempunyai kekurangan fizikal, namun tetap memberikan respon positif dan ceria apabila berinteraksi,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas