Berita

Sedia terima kedatangan pelancong

- Diterbit 10 Januari 2020 5:39 AM MYT

Oleh Md Khairul Azad Yunus dan Jeffrey Nian

LABUAN – Lebih 100 acara bakal memeriahkan pengisian kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (MM2020) di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Dr. Fary Akmal Osman, PL dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, agensi-agensi kerajaan dan swasta akan membuat penambahbaikan dalam tiga aspek bagi acara-acara yang bakal dijalankan sepanjang MM2020.

“Kita akan menambah baik dan menganjurkan acara-acara baharu berimpak tinggi dan bertaraf antarabangsa antaranya Pertandingan Joran Antarabangsa, Festival Layang-Layang, Pertandingan Golf bagi menarik lebih ramai pelancong ke Labuan.

“Kita juga bangunkan produk-produk pelancongan baharu seperti sembilan kawasan geopark yang sudah dikenal pasti selain menjadi­kan Labuan sebagai hab bagi penggemar aktiviti menyelam di Pulau Layang-Layang dan lima kawasan kapal karam di perairan Labuan.

“PL juga akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan luar bagi mengenal pasti kekangan untuk membawa penerba­ngan antarabangsa sekali gus pelancong luar ke Labuan,” kata­nya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan baru-baru ini.

Tambahnya, selain sembilan acara utama, Labuan juga akan menerima kunjungan duta-duta asing pada Mac depan untuk memperkenal selain menarik pelaburan ke pulau itu.

“Kita akan menekankan aspek publisiti bagi mempromosikan acara-acara yang besar seperti Hari Wilayah, Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) dan 60 acara sukan pelancongan sekali gus memberi impak ekonomi baharu Labuan,” katanya.

Pada majlis tersebut, kumpulan pertama pelancong yang tiba di Labuan disambut dengan persembahan kebudayaan yang terdiri daripada tarian dan muzik tradisional tempatan seperti kulintangan serta diberikan cenderahati dan kalendar acara pelancongan Labuan 2020.

Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad dan Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, Nor Hidayah Mohd. Nor.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas