Berita

PL beri sumbangan mangsa banjir staf UMSKAL

FARY (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada kakitangan UMSKAL yang terjejas akibat banjir di Wisma Perbadanan Labuan baru-baru ini. Turut kelihatan Salmah (dua dari kiri).
- Diterbit 10 Januari 2020 5:41 AM MYT

LABUAN – Seramai tujuh orang mangsa banjir di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) termasuk tiga buah kampung berdekatan menerima sumbangan wang ehsan bencana di bawah Inisiatif Wilayah Peduli Kementerian Wilayah Persekutuan.

Seorang penerima, Erman Muhd Kadrih yang juga kakitangan UMSKAL berkata, sumbangan yang diterima itu dapat mengurangkan sedikit beban ekoran banyak barang-barang yang perlu ditukar.

“Banjir kali ini agak teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kali ini air naik sehingga ke paras pinggang.

“Nasib baik kuarters yang didiami ini dua tingkat, banyak barang utama dapat diselamatkan seperti mesin basuh dan peti ais,’’ katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.

Kata Erwan, bantuan yang diterimanya merupakan tanda keprihatinan PL.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Dr. Fary Akmal Osman berkata, pihaknya akan terus membantu menangani masalah banjir di UMS Labuan dan beberapa kampung yang terlibat dengan bantuan agensi kerajaan yang lain.

“PL juga bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Labuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk sekitar apabila tiba musim hujan,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung yang terjejas banjir di Kampung Rancha-Rancha dan Kampung Sungai Miri.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Sosio Ekonomi PL, Salmah Beddu.

Pada 24 Disember lalu, kira-kira lapan buah rumah kakitangan UMSKAL dan kampung berdekatan telah ditenggelami air ‘banjir termenung’.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas