Berita

Reformasi bukan omong kosong

- Diterbit 26 April 2024 9:00 AM MYT

HANYA kerana nilai mata wang jatuh baru-baru ini, ada yang mempertikaikan reformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sekadar omong kosong.

Namun tidak adil menilai kejayaan reformasi sedangkan kita tidak memahami secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan perkataan itu sendiri.

Agenda reformasi yang dilaksanakan untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang politik mereka.

Menurut PM, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kerajaan menyediakan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini berbanding RM8 bilion tahun lalu, yang memanfaatkan sembilan juta rakyat untuk meringankan beban mereka.

“(Selain itu) Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kita tambah lima kali ganda daripada RM130 juta tahun lalu kepada RM700 juta, (manakala) bantuan untuk murid sekolah, dari darjah satu sampai tingkatan lima semua pelajar Melayu, pelajar Cina dan pelajar India, termasuk di Sabah dan Sarawak dapat, dengan jumlahnya untuk tahun 2024 ialah RM800 juta,” katanya.

Beliau yang juga Presiden KEADILAN berkata ketika menyampaikan Amanat Presiden sempena Konvensyen 25 Tahun KEADILAN, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), baru-baru ini.

Kerajaan juga menjaga kebajikan penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dengan cadangan penambahbaikan yang akan diumumkan 1 Mei nanti.

“Sebab itu kerajaan melaksanakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), untuk membantu kerajaan memberikan bantuan kepada yang layak.

“Ini yang dikatakan reform. Saya nak nasihatkan kawan-kawan yang bicara dan agak sinis terhadap reform, reform ni dalam erti kata apa manfaat kepada golongan miskin, pekerja ladang, nelayan di kampung, pekebun kecil Melayu, India di estet, penjawat awam, ini yang mesti disampaikan dan ini memerlukan reform,” katanya.

Terdahulu, selepas konvesnyen khas itu, kemuncak sambutan Jubli Perak penubuhan KEADILAN akan diadakan pada 11 Mei ini, pada program Malam Sambutan 25 Tahun KEADILAN di Sentul Depot, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas