Selebriti

“Saya minta maaf, tak sengaja ‘rosakkan’ lagu Siti” – Misya Syahirah

- Diterbit 17 April 2024 10:00 PM MYT

PENYANYI baharu Misya Syahirah mengaku dikecam teruk netizen gara-gara membawakan lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Misya atau nama sebenarnya Nur Misya Syahirah Mustaffa, 30,  memohon maaf selepas didakwa ‘merosakkan’ lagu penyanyi nombor satu negara itu.

Ujar Misya, walaupun  dia mengalami masalah kesihatan ketika itu, namun secara peribadi dia sendiri kecewa dengan persembahan tersebut dan menerima kritikan dengan hati terbuka.

“Terlebih dahulu, saya minta maaf kepada Datuk Siti dan peminat-peminat beliau. Saya minta maaf, tak sengaja ‘rosakkan’ lagu Datuk Siti.

“Sebenarnya saya tidak sihat kerana demam dan batuk-batuk pada hari persembahan itu. Mahu atau tidak, saya kena teruskan kerana sudah memberi persetujuan awal untuk memenuhi undangan nyanyian itu.

“Seperti yang dijangka, disebabkan kurang sihat, suara saya sangat terganggu ketika menyanyikan lagu tersebut. Namun saya sudah cuba buat yang terbaik,” katanya.

Menurut Misya, walaupun video tersebut sudah lama dimuatnaik dalam media sosialnya, namun dia menerima kecaman sejak akhir-akhir ini apabila namanya semakin dikenali.

“Kalau ikutkan video tu sudah lama. Awal tahun ini persembahan tersebut. Namun, akhir-akhir ini ramai pula yang DM (direct message) mengecam nyanyian saya dan mereka mendakwa saya ‘rosakkan’ lagu  Datuk Siti.

“Saya tak kuat. Saya padam semua DM tersebut termasuk kecaman dalam ruangan komen di Instagram. Saya tak mahu komen-komen tersebut mengganggu fikiran saya.

“Apa-apa pun, saya tetap terima kritikan dan komen dengan hati yang terbuka. Terima kasih atas teguran dan nasihat yang diberikan netizen. Saya ambil ia untuk perbaiki kelemahan yang ada,” ujarnya.

MISYA menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam sebuah acara tertutup di Johor Bahru, awal tahun ini.
MISYA Syahirah

Dalam pada itu, Misya berharap penyanyi baharu sepertinya terus diberi peluang untuk mengembangkan bakat.

“Saya tahu ramai penyanyi baharu hebat muncul dalam industri. Saya harap, saya antara penyanyi yang boleh sama-sama mewarnai dunia seni.

“Saya ambil semangat idola saya iaitu Siti Nurhaliza. Beliau sangat memberi inspirasi kepada saya dan ramai orang serta masyarakat Malaysia. Mempunyai keperibadian yang hebat, usaha keras dan kesungguhan beliau amat saya kagumi,” tambahnya lagi.

Sebelum ini  Misya sudah muncul dengan lagu Apa Benar, Lihat Itu, You, Only Words dan Selamanya.

Terdahulu, Misya menerima kritikan netizen setelah memuatnaik video dia menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa dalam sebuah acara di Johor Baharu pada awal tahun ini. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas