Berita

“Itu muka saya cuak, cemas”… Siti Nurhaliza bongkar kisah sebenar di sebalik ‘ear monitor’ belum on

- Diterbit 16 April 2024 9:40 PM MYT

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak sangka video belakang tabir Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung pada Mac lalu tular dan menjadi bualan netizen.

Sedutan video di belakang pentas yang memaparkan saat-saat cemas Siti apabila ear monitor tidak dibuka telah menimbulkan pelbagai reaksi serta komen dalam kalangan netizen.

“Suasana di belakang pentas ada 1001 cerita, hanya mereka yang bekerja sahaja yang mengetahui setiap debar memberikan yang terbaik, mengejar masa, memastikan semuanya tepat masa dan tentunya mahu semua hal teknikal berjalan sempurna.

“Saya tak sangka pula, momen belakang pentas yang disediakan dalam Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza mendapat perhatian dan dijadikan berita serta dikongsikan, ada yang kata saya marah (reaksi dan mimik muka dalam video tersebut tanpa suara).

“Bila baca komen, alaaa… Janganlah ambil serius sangat tau. Saya tak marah pun, tu muka saya cuak atau cemas. Anda boleh tengok berapa saat je LED tu akan terbuka dan saya kena menyanyi,” katanya.

 

Siti juga menjelaskan ear monitor sangat penting kepada penyanyi ketika menjayakan persembahan atau konsert.

Dalam masa yang sama, Siti berharap perkongsian  itu menjelaskan segala-galanya keadaan dan situasi sebenar apa yang berlaku.

“Bayangkan kalau ear monitor yang saya pakai tak on atau dibuka. Ear monitor ini sangat penting kepada seseorang penyanyi untuk mendengar suara dan muzik.

“Saya muat naik video sebenar supaya tiada spekulasi lagi, saya pun benarkan video tersebut disiarkan dalam siaran Astro sebab saya tahu, ada peminat mahu menonton situasi di belakang pentas.

“Saya tak marah pun. Itu nada suara saya yang mahu memastikan ear monitor saya dibuka dengan segera, dan berjalan secara profesional ke depan pentas, terus menghayati dan menghiburkan penonton.

“Setiap persembahan dan konsert ada cabaran dan pengalaman, kena cekap dan pantas menangani.

“Saya sendiri ada bermacam-macam pengalaman di belakang pentas dalam konsert-konsert sebelum ini,” ujarnya lagi

Terdahulu, tular dalam media sosial video belakang pentas yang memperlihatkan suasana cemas apabila ear monitor tidak dibuka sewaktu Konsert Sebuah Epitome Saya Siti yang berlangsung pada 9 Mac lalu di Stadium Axiata, Bukit Jalil. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas